Sukan Malaysia (Sukma) terus dipalit kontroversi, kali ini isu doping pula menjadi tajuk berita utama selepas isu ini sepi buat beberapa bulan.

ali terakhir isu doping bertebaran di dada akhbar berita sukan adalah membabitkan seorang atlet negeri yang didapati menggunakan bahan terlarang apabila ujian saringan diadakan dalam Sukma Perak 2018 bulan lalu.

Yang terbaru, setelah tamatnya temasya itu kira-kira empat minggu lalu, laporan yang disahkan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan terdapat dua orang lagi atlet dipercayai dari Pantai Timur gagal dalam ujian berkenaan.

Untuk rekod, ini merupakan kes ketujuh membabitkan isu doping dalam negara bagi tahun 2018 dan yang paling menyedihkan, kesemuannya membabitkan atlet angkat berat.

“ Ia sesuatu yang mengecewakan kerana ujian ketat sudah dilaksanakan namun masih terdapat atlet dan pegawai yang degil walaupun pelbagai amaran dan peringatan dikeluarkan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukma Perak 2018, Datuk Low Beng Choo.

Beng Choo percaya atlet-atlet muda yang didapati menggunakan bahan terlarang pastinya mendapat arahan daripada pegawai dan tidak keterlaluan, jurulatih juga turut terlibat dalam skandal ini.

“Wang ganjaran yang diberikan kontinjen negeri adalah lumayan, tidak mustahil mereka sanggup gunakan apa cara sahaja untuk dapatkan emas dalam Sukma, tambahan jika atlet itu menang, ia bakal meningkatkan reputasi jurulatih berkenaan.”

Di peringkat kebangsaan, program untuk atlet negara sudah digantung setahun dan mereka tidak akan dihantar menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

Kini dengan kes terbaru membabitkan dua atlet yang positif bahan methylhexaneamine, apa pula lagi hukuman yang menanti untuk sukan angkat berat secara keseluruhan? Mungkin kelibat angkat berat tiada dalam SUkma Johor 2020?