Raya makin menjelang tiba.

Baju, capal, biskut, ketupat, lemang bakal kita nikmati secara bersederhana dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.


Tetapi itu semua perlukan duit.

Apa khabar pelumba, jurulatih, pengurus dan pegawai pasukan basikal lebuhraya yang sertai Le Tour de Langkawi 2020?

Sibuk buat persiapan raya?

Wang hadiah kemenangan LTdL apa cerita? Tahniah jika sudah dilunaskan.

Bukan apa, kita perlu menjaga imej perlumbaan basikal bertaraf Siri Profesional - yang terbesar di Asia Tenggara.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menetapkan syarat penganjur perlu melunaskan semua wang hadiah kemenangan tiga bulan selepas perlumbaan tamat.

LTdL 2020 berakhir 14 Februari 2020.

Ada pelumba menghubungi saya mendakwa masih belum membeli baju raya.

Mungkin ada masalah teknikal. Maklumlah, bukan semua orang dapat bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB).

Penganjur sedang berusaha melunaskan bayaran tetapi mereka memaklumkan, bank tutup.

Saya harap semua pasukan menerima hakikat bank tutup ketika tempoh PKPB.

Bertabahlah. Selamat hari raya!