Mungkin masih terlalu awal untuk membincangkan apa akan terjadi kepada Liga Malaysia 2019, namun berdasarkan perubahan landskap politik negara 9 Mei lalu, banyak yang menarik untuk diperkatakan.

Perubahan tampuk pimpinan di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Kedah dan Sabah menjadikan bola sepak di peringkat persatuan negeri berdepan polemik tertentu dan peminat sudah tentu mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengabaikan kepentingan bola sepak negeri.

Kedah satu-satunya negeri dijangka tidak berdepan masalah ini jika rekod lampau memperlihatkan Datuk Mukhriz Mahathir begitu komited membantu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semasa bergelar Menteri Besar pada tahun 2013 hingga 2016.

Sementara itu, negeri lain masih belum ada kata putus dalam soal ini dan satu perkara yang pasti berlegar-legar di kebanyakan pemain, adakah kebanyakan persatuan bola sepak negeri lain akan melakukan langkah penjimatan secara drastik atau tetap menerima dana yang sama seperti mana kerajaan terdahulu?

Apa bakal terjadi kepada pasukan berstatus kelab yang mempunyai kaitan kepentingan kerajaan atau dinaungi ahli politik Barisan Nasional sebelum ini seperti Felda, Felcra, MIFA dan MOF FC.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Utama Shahrir Samad, telah meletak jawatan sambil diikuti Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, bakal mengikut jejak langkah yang sama pada penghujung bulan ini yang menjadikan masa depan kedua-dua pasukan pasti dalam kesamaran.

MIFA di bawah tanggungjawab Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan, juga telah mengeluh bajet pasukan itu secara langsung pasti terjejas ekoran kekalahan kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat.

Berdasar pengamatan kasar penulis, bilangan pasukan yang dijangka mengambil bahagian musim depan dilihat pasti terjejas ditambah sudah ada perkhabaran masa depan beberapa pasukan di Liga FAM seperti Perlis, Terengganu City FC dan Hanelang FC semakin kelam.

Adakah ini sebuah harga terpaksa dibayar jika kebanyakan pasukan di Liga Malaysia masih terus bergantung talian hayat politik dan persoalannya, sampai bila budaya sebegini akan berterusan?

Sehingga kini, kebergantungan 100 peratus pengaruh ahli politik masih terus ditagih dalam soal dapatkan penajaan atau mendapat dana daripada kerajaan negeri, malah ada sesetengah persatuan negeri telah memaktubkan dalam perlembagaan, menteri besar atau ketua menteri secara automatiknya akan dilantik sebagai presiden.

Realitinya pahit untuk ditelan namun kita terpaksa terima hakikat proses transformasi pengurusan di kebanyakan persatuan bola sepak negeri masih sukar dilaksanakan sepenuhnya kerana masih belum ramai lihat bola sepak itu sebagai sebuah perniagaan yang mampu menjana kewangan.

Selagi tiada usaha ke arah itu, selagi itulah majoriti persatuan bola sepak negeri terpaksa melukut di tepi gantang tiap kali musim baharu bermula.