“Dia seorang penyerang yang baik dan mempunyai sentuhan penyudah yang bagus. Dia telah menjaringkan gol dalam setiap kategori umur. Dia pandai mencari ruang untuk menjaringkan gol. Dia seolah-olah dilahirkan untuk menjadi penjaring gol.” (Bleacher Report)

Penilaian bekas jurulatih Akademi La Masia, Denis Silva Puig, terhadap Daniel 'Dani' Olmo Carvajal ternyata menunjukkan yang RB Leipzig memiliki seorang pemain bintang.

Walaupun ada ura-ura mengatakan bahawa beberapa kelab bola sepak gergasi Eropah, termasuk Barcelona dan Atletico Madrid, berebut mengambil pemain tengah berusia 21 tahun itu, Olmo memilih untuk bermain di kelab yang sedang mendahului Bundesliga itu untuk melanjutkan kerjaya bola sepaknya.

Perjalanan Dani Olmo setakat ini

Dani Olmo -- seorang graduan La Masia -– berpindah ke Dinamo Zagreb secara profesional pada tahun 2014. Prestasinya yang cemerlang dalam barisan pemain remaja Zagreb memberinya peluang untuk bermain dalam skuad senior mereka.

Olmo membuat penampilan sulungnya pada Februari 2015 dan menerima anugerah pemain terbaik atas prestasinya pada Jun 2019. Gaya permainannya di kelab itu membuatkannya berjaya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Sepanyol.

Dalam perlawanan pertamanya untuk skuad Sepanyol, Olmo masuk ke padang dan menjaringkan gol tiga minit kemudian, sekali gus mendapat kemenangan 7-0 terhadap Malta.

Pengatur serangan kelahiran Sepanyol itu telah membuat 124 penampilan untuk kelab itu, dan menjaringkan sejumlah 34 gol dalam semua perlawanan. Walaupun statistiknya tidak kelihatan gah, RB Leipzig telah membayar sekitar EURO35 juta (RM153 juta) untuk mengambil pemain kelahiran Sepanyol itu.

Bola sepak memerlukan set kemahiran yang khusus, kreativiti yang tinggi, sentuhan yang berbisa dan pergerakan yang pantas, tidak kira semasa sedang mengawal bola atau tidak. Sehubungan itu, peranan pemain jersi bernombor 10 -- pemain berkedudukan di belakang penyerang -- adalah sangat penting buat satu pasukan bola sepak.

Telah banyak perancang yang berkualiti muncul sejak beberapa tahun lalu. Apabila bercakap tentang perancang, perlu diingati yang mereka semua tidak dianggap pemain jersi bernombor 10 yang klasik. Sebagai contoh, kita boleh bandingkan Mesut Ozil dengan Kevin de Bruyne. Kedua-dua mereka merupakan pemain yang kreatif.

Namun, apabila Ozil berada di belakang seorang pemain penyerang, itulah yang membuatkannya menjadi pemain jersi bernombor 10 yang sempurna, manakala De Bruyne bermain sebagai pengatur serangan yang berkedudukan dekat dengan gawang gol sendiri. De Bruyne boleh bermain sebagai pemain jersi bernombor 10 yang klasik, tetapi dia tidak boleh dianggap sebagai pemain jersi bernombor 10 semula jadi.

Seperti Ozil, Dani Olmo kelihatan mengancam apabila mengambil peranan sebagai pemain jersi bernombor 10 untuk pasukannya. Olmo mempunyai kreativiti, serba boleh dan mampu membuat hantaran yang memecahkan barisan pertahanan. Tahap ketepatan hantarannya yang memuaskan adalah satu ancaman buat pihak lawan.

Apa yang Olmo boleh sumbangkan?

Dengan 40 mata daripada 19 perlawanan liga setakat ini, kini RB Leipzig berada pada kedudukan teratas dalam jadual mata Bundesliga. Jika The Red Bulls mahu memenangi piala musim ini, mereka tidak boleh hanya berharap kepada pemain penyerang mereka semata-mata.

Pengendali pasukan, Julian Nagelsmann, perlu menunjukkan kreativitinya terhadap barisan pemain tengahnya.

Mengambil Olmo sebagai pemain mereka boleh membantu kelab bola sepak Jerman itu dalam banyak cara. Leipzig ada banyak perlawanan yang sudah dijadualkan dan pemain bola sepak boleh tercedera dengan cepat apabila mereka bermain setiap hujung minggu, walaupun setiap tiga hari.

Olmo boleh bermain dalam banyak kedudukan menyerang yang berbeza; bermakna seorang atau dua orang pemain penyerang yang tercedera tidak menggusarkan pengurus skuad Jerman itu.

Seperti yang dikatakan tadi, kebolehan Olmo untuk bermain sebagai pemain jersi bernombor 10 yang klasik akan terbukti membantu kemaraan Leipzig, terutama buat Timo Werner.

Perbezaan jumlah jaringan gol di antara Werner dan penjaring terbanyak musim ini, Robert Lewandowski hanyalah sebiji gol saja. Jika Werner berjaya membina keserasian di antara dia dan Dani Olmo, besar kemungkinan Werner akan tersenarai sebagai penjaring terbanyak pada penghujung musim 2019-2020.