Ia satu hipotesis yang disenangi sesetengah, namun tidak disukai sebahagian yang lain – Lionel Messi menyertai Juventus untuk berpadu tenaga dengan Cristiano Ronaldo.

Namun, jika ia ditakdirkan berlaku – tiada apa yang mustahil dalam bola sepak – bagaimanakah akan jadinya?

Miguel Val menulis dalam akhbar harian sukan Sepanyol, Marca, kemungkinan itu tidak boleh diketepikan, dengan perseteruan kedua-duanya dalam LaLiga sebelumnya berkesudahan dengan berkongsi bilik persalinan yang sama.

Perbandingan turut dibuat dengan persaingan terhebat (Larry) Bird and Magic (Johnson) dalam bola keranjang NBA, (Anatoly) Karpov dan (Garry) Kasparov dalam sukan catur serta (Rafael) Nadal dan (Roger) Federer dalam tenis.

Sukan telah banyak menyaksikan persaingan terindah dan bola sepak juga tidak berbeza dengan dominasi Messi dan Ronaldo.

Melihat kedua-duanya bergandingan dalam barisan serangan Juventus tentunya akan mempesonakan peminat bola sepak.

Dalam pada itu, Val melontarkan persoalan bolehkah peminat Messi bersorak untuk Ronaldo dan begitu juga sebaliknya?

Apa pun, kata penulis itu, semua mata akan tertumpu ke Turin, dengan tiada sesiapapun mahu terlepas perlawanan yang menampilkan kedua-dua Messi dan Ronaldo di barisan serangan.

Semua orang juga akan melanggan stesen televisyen berbayar yang membawakan perlawanan Juventus secara langsung di samping jersi replika kedua-dua pemain itu akan sentiasa disambar pembeli.

Messi tidak pernah lagi memenangi pingat juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sejak 2015 sambil Ronaldo gagal mara melepasi suku akhir sejak meninggalkan Real Madrid.

Pada usia selewat 33 dan 35 tahun kini, ketangkasan kedua-duanya tidak pernah dipersoalkan sebelumnya sebagaimana sekarang.

Andai kedua-duanya digandingkan, ia harus menjadi cabaran terbaik buat angkatan pemain seperti Neymar, Kylian Mbappe, Robert Lewandowski, Kevin De Bruyne dan Erling Haaland yang berhasrat mewarisi kegemilangan mereka.




Tidak syak lagi, dengan bergandingan, Messi dan Ronaldo akan menjadikan kerjasama mereka sebagai yang terkuat.

Andailah Messi memilih Turin sebagai haluan berikutnya, The Old Lady akan berbangga memiliki gabungan pemenang 11 anugerah Ballon d'Or, 10 anugerah kasut emas Eropah, sembilan pingat juara UCL serta lebih 1,200 gol.

Kelab itu juga akan menjadi pilihan hangat untuk memenangi segala kejuaraan utama di muka bumi ini.

Kedua-dua final UCL yang Juventus tewas dalam dekad lalu adalah kepada Barcelona yang dipacu Messi pada 2015 dan Real Madrid yang dibintangi Ronaldo pada 2017.

Menggandingkan kedua-duanya di Juventus, mereka akan meruntuhkan halangan untuk menjuarai UCL sejak 1996.

Hipotesis demikian tidak mungkin menjadi kenyataan tahun ini tapi selepas pertengahan tahun depan, siapa tahu…