Tampak gagal mencari rentak, boleh dikatakan peminat mengharapkan keajaiban dapat dicipta menerusi pemain seperti Juan Mata, Bastian Schweinsteiger atau penyerang berumur 19 tahun, Anthony Martial untuk melakukan sesuatu. Sebuah nama yang tidak tersenarai, Wayne Rooney.

Kapten pasukan Manchester United mula tidak mendapat perhatian dari peminat atau kebanyakan pengkritik bola sepak setelah prestasinya musim ini di Liga Perdana Inggeris terus merudum.

Walaupun menjaringkan hatrik menentang Club Brugge di dalam Liga Juara Juara Eropah dan satu gol sewaktu menentang Ipswich dalam Piala Liga, Rooney hanya sekadar menjaringkan satu gol untuk kelabnya di dalam Liga Perdana Inggeris.

Statistik menunjukkan bahawa prestasi Rooney di hadapan gol makin lama makin merosot. Kali terakhir beliau menjaringkan lebih 30 goal satu musim (untuk kelab dan juga negara) adalah pada musim 2011/2012 (38 gol). Dua musim berikutnya, Rooney menjaringkan hanya 23 goal sepanjang musim dan musim lepas, dia hanya menjaringkan 22 gol.

Pada awal musim, ramai menjangkakan musim ini Rooney akan menyerlah selepas Lous Van Gaal menamakan beliau sebagai penyerang utama setelah pemergian Robin Van Persie, Javier Hernandez dan Radamel Falcao, namun bekas penyerang Everton ini masih gagal menemui rentak, dan dia sendiri mengakui akan kejatuhan prestasinya bulan lalu.

Pelbagai pendapat dan pandangan yang dikeluarkan mengenai kejatuhan prestasi ini. Tanggungjawab sebagai seorang kapten mungkin telah menjadikan Rooney lebih berhati-hati dan memikirkan tentang pasukan dari memburu gol.

Faktor umur, dan ketiadaan konsistensi dalam posisi beliau juga mungkin menjadi faktor utama. Kini hampir mencecah 30 tahun, Wayne Rooneey sering gagal bermain di hadapan sebaliknya diletakkan pelbagai posisi samada di bahagian penyerang, tengah, sayap kiri atau sayap kanan.
Bekas bintang Manchester United, Paul Scholes dan David Beckham menyatakan sokongan terhadap beliau, dan beranggapan bahawa bintang England ini akan menemui rentak nya semula. Namun tidak pula bagi pengkritik dan segelintir peminat.

Bekas pemain Liverpool, Dietmar Hamaan menyarankan Rooney berhijrah ke kelab baru dan bukan lagi untuk bersama Man Utd, sementara Legenda Arsenal, Martin Keown menyalahkan pengurusnya, Van Gaal atas kemerosotan prestasi Wayne Rooney.
Louis Van Gaal pernah menyatakan sebelum ini yang beliau tidak akan menyisihkan kaptennya dari kesebelasan utama, tapi mungkin LVG perlu mencorak strateginya kembali, kerana mengikut prestasi sekarang, kombinasi Juan Mata dan Anthony Martial tampak lebih berkesan di hadapan berbanding dengan Rooney dan Martial.

Wayne Rooney juga perlu sedar, memasuki alam "tiga-kosong" waktu kemuncak beliau dalam bola sepak sudah mula jatuh, dan dengan tempat EURO 2016 akan diisi tak lama lagi, penyerang ini harus segera kembali mencari sentuhan berbisa, dan memenangi semula hati peminat Man Utd di seluruh dunia.