SEPERKARA yang menarik menjelang pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 25 Mac nanti ialah pencalonan tiga bekas pengadil – Subkhiddin Mohd Salleh, Nik Ahmad Yaakub dan Jamil Zakaria – sebagai ahli jawatankuasa eksekutif badan induk itu.

Maklum balas di peringkat ahli gabungan FAM ialah seorang daripada mereka – jika menang – bakal dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Jarang sekali keputusan bijak sebegini dibuat dalam kalangan ahli gabungan FAM.

Sama ada ketiga-tiga mereka dapat undi mencukupi atau tidak masih menjadi persoalan.

Sekali imbas, Subkhiddin, selaku satu-satunya anak Malaysia terpilih menjadi pengadil ke pentas Piala Dunia pada 2010, dilihat calon paling layak menduduki kerusi yang sebelum ini pernah dijawat pemegang jawatan seperti mendiang Goh Ah Chai, Datuk Astaman Aziz dan Datuk S. Sivasundaram.

Antara bekas pengadil yang pernah menjawat kerusi itu ialah Allahyarham Tan Sri Zain Hashim dan Allahyarham Mohd Nazri Abdullah.

Lazimnya jawatankuasa itu diketuai oleh individu yang tiada latar belakang teknikal dan tidak pernah menjadi pengadil.

Dengan mutu pengadilan dalam Liga M sentiasa mendominasi berita negatif, adalnya seorang bekas pengadil yang disegani sehingga ke pentas antarabangsa menerajui jawatankuasa itu barangkali satu opsyen ke arah memperbetulkan keadaan.

Namun ketika Mohd Nazri menjadi pengerusi jawatankuasa itu sekitar lewat dekad pertama 2000-an, kuasa beliau agak terhad kerana tugasan mengurus dan melantik pengadil untuk perlawanan anjuran FAM terletak di bahu ketua jabatan pengadil.

Waktu itu desas-desus bertiup kencang seramai 70 pengadil menandatangani surat protes terhadap ketua jabatan itu atas pelbagai faktor, termasuk sikap pilih kasih dan urus tadbir tunggang-langgang.

Sebab itu pengurusan jabatan itu harus dipantau pengerusi dan ahli jawatankuasa yang pakar dalam bidang berkenaan serta diberi hak menegur ketua jabatan.

Di saat Subkhiddin dilihat calon pilihan di mata peminat, kewibawaan Nik Ahmad tidak boleh dipertikaikan.

Latar belakang Nik Ahmad agak unik. Memulakan kerjayanya sebagai guru, Nik Ahmad pernah menjadi jurulatih peringkat negeri di pentas Piala Presiden, bahkan menjadi jurulatih skuad kebangsaan Bawah 19 tahun pada 1988 sebelum aktif sebagai pengadil dari 1989 sehingga 2001.

Jika Subkhiddin menjadi anggota jawatankuasa pengadil FIFA dan kini bertugas sepenuh masa di badan induk dunia itu, Nik Ahmad mengetuai jabatan pengadil Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selain menjadi perunding dan instruktur pengadil Persekutuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) serta masak dengan politik di kementerian berdasarkan pengalaman di Kementerian Pelajaran Malaysia serta jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Latihan dan Audit Teknikal di Usaha Sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Maka kepakaran Nik Ahmad tidak terbatas kepada kepengadilan, bahkan beliau memiliki latar belakang teknikal selaku jurulatih, pengadil bertaraf FIFA serta pengurusan dan pentadbiran di peringkat sekolah, kementerian dan AFC.

Jika Subkhiddin dan Nik Ahmad memiliki ciri-ciri yang harus mengangkat mereka sebagai bakal exco FAM, Jamil yang berpengalaman menjadi pengadil peringkat kebangsaan seawal 1990-an pula dilihat sebagai calon darkhorse untuk exco.

Secara umumnya, tidak salah jika ketiga-tiganya menyelitkan diri dalam proses membuat dasar untuk FAM, manakala sama ada Nik Ahmad atau Subkhiddin diberi tanggungjawab menjenamakan semula jawatankuasa pengadil selaku satu badan pemantau profesional yang mampu melahirkan kelompok pengadil terbaik bagi mengembalikan rasa hormat terhadap profesion itu.