Tatkala anda membaca artikel ini, saya bersama jurukamera, S Pulendran masih lagi bertugas untuk menyampaikan laporan terkini sempena Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh.

Ini merupakan kejohanan sulung penganjuran Badminton Asia untuk acara berpasukan di rantau ini, dan saya boleh katakan setiap negara menghantar pasukan terbaik mereka, lihatlah barisan pemain yang tersenarai, Chen Qingchen, Zhang Nan, Yoo Yeon Seong, Angga Pratama, dan wow, banyak lagi !

Umum juga maklum, sukan badminton bukan sukan nombor satu negara di Vietnam, rata-rata masyarakat di sini lebih cenderung meminati bola sepak, senario yang sama seperti Malaysia. Namun peminat tempatan di sini tetap berikan sokongan buat pasukan kebangsaan mereka dengan memenuhi tempat duduk di Pusat Sukan Nguyen Du sepanjang kejohanan berlangsung.

Sebenarnya dalam tempoh kejohanan badminton ini, ia berlangsung serentak dengan pengrekrutan kerahan tenaga askar bagi kesemua rakyat Vietnam yang sudah mencapai umur 18 tahun.

Ia sebagai antara lima buah negara di dunia yang masih mengamalkan konsep pemerintahan Komunis, negara ini mewajibkan rakyatnya berumur antara 18-25 tahun menyertai kerahan tenaga askar untuk tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun. Tentera Vietnam atau lebih dikenali sebagai People's Army of Vietnam (PAVN) terbahagi kepada Tentera Laut, Udara, Unit Sempadan dan Unit Pengawal Pantai.

Dan untuk menggalakkan lagi serta menyemai minat berkhidmat untuk negara dengan "rela hati" , Kerajaan Vietnam menggunakan propaganda menggantung sepanduk dan kain rentang menyeru anak muda rakyat negara itu menyumbang bakti dan tenaga buat negara tercinta, ia sungguh meriah sekali ibarat ada pesta. Saya sendiri terkejut melihat ramai muda mudi yang beratur di pejabat kerajaan menunggu giliran di tepi jalan untuk diserap menjadi kerahan tenaga askar.

Ia sedikit sebanyak timbulkan dilema buat mereka yang meminati badminton, mahu melihat pasukan kebangsaan bermain di halaman sendiri, tetapi dalam masa yang sama terpaksa akur dengan perintah kerajaan untuk berbakti buat pertiwi, aduhai dilema sungguh rasanya !


Fakta menarik : Tahukah anda, venue Pusat Sukan Nguyen Du ini pernah mencipta kontroversi apabila siling bumbung Pusat Sukan Phan Dinh Phung runtuh ketika berlangsung Kejohanan Badminton GP Vietnam pada tahun 2014, dan hampir-hampir membawa kecederaan kepada pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain, namun syukur, kesemua pemain negara selamat dalam insiden itu.