Apa pentingnya apabila Ansu Fati diumumkan kini diwakili ejen super, Jorge Mendes, dan agensinya yang bernama GestiFute?

Secara ringkasnya, ia bermakna Fati, pemain berusia 17 tahun kelahiran Guinea-Bissau yang kini berkerakyatan Sepanyol, sudah pun tergolong dalam kelompok pemain elit seperti Cristiano Ronaldo, David de Gea, Diego Costa, James Rodriguez dan Joao Felix, yang semuanya diwakili ejen yang sama.

Mendes, seorang warga Sepanyol, dikenali seorang ejen yang sukar diajak berunding kerana sentiasa mahukan yang terbaik buat pemain diwakilinya di samping menjanjikan mereka habuan tertinggi untuk satu jangka masa yang panjang.

Dengan Mendes dinobatkan Ejen Terbaik Tahunan Anugerah Globe Soccer 10 tahun berturut-turut sejak 2010, Fati juga harus boleh menumpang tuah ejen super itu untuk mengukir kegemilangan seperti pemain-pemain senior yang ‘sekandang’ dengannya.

Terbaru, Mendes dilaporkan berada di Catalonia kelmarin untuk mengadakan pertemuan dengan lembaga pengarah kelab Barcelona.



Tujuannya ialah merundingkan kontrak pemain terbaru di bawah tanggungjawabnya, Fati, di samping masa depan seorang lagi pemain, Nelson Semedo, di kelab itu.

Fati adalah bintang baru yang bergemerlapan dalam bola sepak dunia dan Barcelona seboleh-bolehnya mahukan dia membina legendanya di Camp Nou.

Kontraknya ketika ini masih berjalan sehingga 2022 di samping diikat dengan klausa pelepasan bernilai €170 juta (RM838 juta) tapi Barca boleh meningkatkannya kepada €400 juta (RM1.97 bilion) apabila dia tersenarai dalam pasukan utama.

Barcelona juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya hingga 2024 tapi tambahan dua tahun itu mempunyai implikasi perundangan kerana pemain di bawah usia 18 tahun tidak boleh menandatangani kontrak lebih daripada tiga tahun. Dia hanya akan genap 18 tahun 31 Oktober nanti.

Di sinilah peranan Mendes yang secara rasmi menjadi ejen Fati beberapa minggu lalu setelah pemain itu berada di bawah pengendalian abang Lionel Messi, Rodrigo, sebelumnya.

Akhbar The Sun mendedahkan Fati kini di ambang satu perjanjian baru yang panjang dengan klausa pelepasan bernilai £365 juta (RM1.94 bilion).

Kontrak itu adalah habuan buatnya selepas semusim yang memberangsangkan dengan menyumbat tujuh gol dalam 24 penampilan LaLiga.

Ternyata Fati bukan calang-calang, dengan kenaikan daripada pasukan remaja kepada pasukan utama dan terbaru, tampil selaku penjaring termuda buat pasukan kebangsaan Sepanyol – gol ketiga dalam kemenangan 4-0 ke atas Ukraine dalam Liga Negara-Negara seminggu lalu.

“Ia bukan sesuatu yang biasa-biasa untuk dia memiliki sinar dan keyakinan diri sebegitu rupa pada usia semuda ini,” kata ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.

Quique Setien tidak memberikannya banyak masa bermain musim lalu tetapi di bawah pengurusan Ronald Koeman kini, Fati harus terus melonjak.

Dunia seolah-olah berada di kakinya.