Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur United (KL United FC) kini memang tampak sentiasa pro aktif dalam membuat keputusan demi kebaikkan skuad “Warga Kota”.

Terbaru, pengurusan KL United FC mengumumkan Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden merangkap penaung kelab itu pada Khamis.

Dalam artikel sebelum ini, penulis pernah mencadangkan pihak pengurusan KL United FC menggunakan pengalaman Annuar yang pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) serta Timbalan Presiden FAM bagi tujuan kebaikan pengurusan mereka.

Ternyata pucuk pimpinan KL United tidak menunggu lama untuk bertindak membawa masuk Annuar.

Meskipun peranan Annuar dilihat lebih sebagai penasihat atau penaung, pengalaman lalunya pasti mampu membantu Kuala Lumpur.

Dengan kedudukan Anuar juga sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam kerajaan, sudah pasti KL United kini mampu menjalin kerjasama baik dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Memandangkan musim 2021 juga adalah tahun pertama setiap pasukan diswastakan kepada FC, kehadiran Annuar juga dilihat mampu menarik pelabur dan penaja buat KL United dalam usaha mereka untuk membina asas yang kukuh daripada segi kewangan dan kemudahan di masa hadapan.


Saksikanlah perlawanan yang dinanti-nantikan ‘The Derby’ Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan secara ‘live’ di...

Posted by Kuala Lumpur United on Thursday, February 25, 2021


Penulis berharap dengan kehadiran Annuar juga, KL United akan turut bersama-sama dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam usaha mewujudkan program pembangunan akar umbi yang lebih berkesan di Kuala Lumpur.

KL United juga kini mungkin sudah boleh merangka pendektanan sesuai dalam mengembalikan semula sokongan penduduk warga kota terhadap pasukan itu.

Kuala Lumpur pernah mempunyai penyokong-penyokong setia mereka di era 80an dan 90 an dulu namun, sokongan peminat terhadap skuad Warga Kota jelas merudum dalam tempoh sedekad lalu.

Di sini juga, penulis percaya pengurusan KL United boleh mendapatkan nasihat serta input pandangan daripada Annuar.

Perlu diingat, bola sepak Kelantan merudum sebelum Annuar mengemudi KAFA dan mengembalikan sokongan peminat Kelantan di era kegemilangan mereka dari 2009 hingga 2013.

Jika KL United berjaya membentuk program pembagunan berkesan, mengembalikan sokongan peminat dan mempunyai barisan ampuh, ia pasti akan menghidupkan semula budaya bola sepak di Kuala Lumpur.

Sebagai seorang pencinta bola sepak, inilah yang penulis harapkan.