Kekal atau pergi? Manchester United atau kelab gergasi lain? Mengapa persembahannya begitu berbeza sewaktu bersama kelab berbanding dengan sewaktu bersama pasukan kebangsaan?

Kesemua soalan ini tidak henti-henti ditanyakan apabila berbicara tentang Paul Pogba.

Setelah mendiamkan diri buat sekian lama, pemenang Piala Dunia 2018 ini akhirnya merungkai pelbagai tanda tanya dalam satu temu bual eksklusif bersama akhbar Perancis, Le Figaro, semalam.

Terlebih dahulu, Pogba yang ketika ini sedang berlatih bersama pasukan kebangsaan untuk menghadapi Ivory Coast dan Afrika Selatan, tidak segan-silu menyatakan betapa riang hatinya berbanding sewaktu bersama United

"Di sini, semua pemain bergembira bagaikan satu keluarga besar. 

"Pasukan kebangsaan Perancis adalah tempat yang paling selesa buat saya biarpun kami semua hanya akan bersama buat seketika."





Kenyataan ringkas ini jelas memaparkan krisis ketidakharmonian dalam pasukan United yang sememangnya telah banyak kali diperkatakan.

Pogba kemudian mengulas lebih lanjut tentang perbezaan peranan yang dimainkannya bersama kedua-dua pasukan dengan satu kenyataan tajam.

"Didier Deschamps (pengurus pasukan kebangsaan Perancis) memberikan peranan yang cukup arif saya mainkan, tetapi di United, saya sering tertanya-tanya apakah peranan saya sebenarnya?"

Tidak kira sewaktu di bawah kendalian Ralf Rangnick ketika ini, mahupun bersama Ole Gunnnar Solskjaer, persembahan Pogba bersama United teramat tidak konsisten.

Ada waktunya dia begitu memberangsangkan tetapi ia kerap disusuli persembahan hambar dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.

Begitu banyak analisis menyebut bahawa ketidakserasian merupakan punca perkara ini berlaku, dan kini hakikat ini akhirnya diakui sendiri oleh tuan punya badan.

Biarpun United disebut-sebut bakal memperoleh pengurus baru pada musim akan datang, berdasarkan segala kenyataan Pogba dalam temu bual ini, digabungkan dengan hakikat yang dia masih belum lagi menandatangani kontrak baru, nampaknya dia tidak lagi berminat untuk bersama The Red Devils.

"Lima musim yang sudah cukup tidak memuaskan hati saya.

"Segala perjuangan tahun ini pula sudah tamat, kami tidak akan memenangi apa-apa.

"Saya pula mahu terus menjulang trofi, tidak kira bersama kelab mahupun negara."






Pogba turut tidak segan untuk mengatakan dia lebih daripada gembira untuk bergabung dengan penyerang utama Perancis, Kylian Mbappe, di peringkat kelab -- sama ada di Paris Saint-Germain atau di Real Madrid, tiada siapa yang tahu.

Turut menarik perhatian adalah pengakuan Pogba bahawa dia mengalami masalah kemurungan setelah dilucutkan jawatan sebagai kapten sewaktu United dikendalikan oleh Jose Mourinho pada bulan September 2018.

"Episod kemurungan saya bermula gara-gara Jose Mourinho.

"Saya tidak henti-henti bertanya kepada diri saya sendiri, apa kesalahan saya? Saya tidak pernah mengharungi detik sebegini sepanjang usia saya."

Jika kita perhatikan apa yang berlaku kepada Pogba sepanjang dua minggu yang lalu ini, kenyataan-kenyataan berani dan terbuka sebegini sebenarnya tidaklah mengejutkan.

Di atas padang, United telah tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL), manakala pada malam yang sama, rumah Pogba telah dimasuki pencuri dan anak-anaknya berada di rumah ketika itu.

"Saya kehilangan barang-barang kemas milik ibu saya, begitu juga dengan medal pemenang Piala Dunia saya," akui Pogba.

Segala kejadian ini berserta dengan kesedihan yang terpaksa ditelannya sejak kembali ke pangkuan United enam tahun lalu, mungkin sahaja mendorong Pogba untuk meletakkan titik noktah di England dan mula mengintai peluang di negara lain.

Kesimpulannya masih belum terpatri, tetapi berdasarkan kata-kata dan pengakuan Pogba, harus penyokong United bersedia untuk tidak lagi melihat kelibatnya setelah usai musim ini.