Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Pepatah apa lagi yang lebih sesuai untuk menggambarkan situasi dihadapi kelab bola sepak Chelsea ketika ini?

Berikutan serangan Rusia atas arahan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine, pemilik Chelsea, Roman Abramovich, kini secara rasminya diletakkan dalam senarai penggantungan United Kingdom dan dikenakan sekatan.

Abramovich adalah seorang daripada tujuh oligarki Rusia yang dikaitkan sebagai mempunyai pertalian rapat dengan Putin, lantas mendorong kerajaan British membekukan asset-asetnya di negara itu di samping mengenakan pelbagai sekatan, termasuk membabitkan Chelsea.



Bagi penyokong Chelsea, selagi sekatan ini berterusan, ini antara perkara paling penting yang harus anda tahu.

Chelsea tidak lagi dibenarkan untuk membeli, menjual mahupun meminjam sebarang pemain.

Sebarang kontrak pemain dan kakitangan kelab tidak boleh diperbaharui.

Tiada sebarang penjualan tiket perlawanan dibenarkan, hanya pemilik pas musim yang dibenarkan hadir ke stadium.

Penjualan barang dagangan seperti jersi rasmi pasukan turut dilarang.

Chelsea masih dibenarkan untuk menanggung kos perjalanan ke tempat lawan tetapi jumlahnya dihadkan kepada £20,000 (RM110,000) sahaja.

Sepanjang dua minggu lalu, Abramovich dilaporkan bergegas untuk menjual Chelsea kepada pemilik baru sebelum sekatan dikenakan, malangnya hajatnya tidak kesampaian.

Kini, penjualan kelab masih boleh dilakukan dengan persetujuan kerajaan United Kingdom, namun walau satu sen wang hasil penjualan tersebut pun tidak dibenarkan untuk masuk ke poket Abramovich.

Penaja utama jersi Chelsea musim ini, syarikat telekomunikasi Three, sudah pun menggantung persetujuan kerjasama mereka yang bernilai £40 juta (RM219 juta) dan meminta agar nama syarikat mereka tidak lagi dipaparkan pada jersi pasukan.

Syarikat Nike yang mempunyai persetujuan selama 15 tahun bersama Chelsea dengan jumlah setinggi £900 juta (RM4.9 bilion) dilaporkan sedang turut mempertimbangkan untuk membatalkan sebarang kerjasama lanjut.

Pelbagai pihak penaja lain dikhabarkan bakal mengambil tindakan serupa.

Daripada aspek tajaan semata-mata, Chelsea dianggarkan bakal mengalami kerugian setinggi £540 juta (RM3 bilion).

Gara-gara sekatan ini juga, kontrak tiga pemain pertahanan, Antonio Rudiger, Andreas Christensen dan kapten Cesar Azpilicueta, yang bakal luput pada hujung musim ini tidak akan dapat diperbaharui dan harus mencari kelab baru.

Wajar diingatkan bahawa Azpilicueta sudah bersama Chelsea selama 10 tahun lamanya.



Adakah kita turut bakal menyaksikan pemain-pemain bintang lain turut mengambil tindakan drastik demi menyelamatkan kerjaya masing-masing?

Had perbelanjaan kos perjalanan pasukan pula bermaksud pemain Chelsea harus melupakan sebarang jet peribadi dan hotel lima bintang kerana jumlah £20,000 (RM110,000) tidak cukup untuk menampung kesemua pemain utama, pemain simpanan dan pekerja Chelsea.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, dilaporkan masih kekal positif dan dipetik sebagai berkata, "Selagi kami masih memiliki jersi dan juga bas, kami akan terus bermain," selepas kemenangan 3-1 ke atas Norwich City semalam, namun mampukah pemain Chelsea yang sudah biasa dengan kemewahan berfikiran serupa?

Menerusi pelbagai temu bual sebelum ini, Tuchel menegaskan yang dia cukup gembira bersama Chelsea dan langsung tidak akan mempertimbangkan untuk angkat kaki, namun dengan perkembangan ini, berapa lama agaknya pendiriannya itu mampu kekal?

Menerusi kolum peribadi di akhbar The Telegraph, bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher menggesa Manchester United untuk menyambar Tuchel bagi menggantikan Ralf Rangnick dan melabelkan perkara ini sebagai satu peluang keemasan.

Tidak mustahil ada pelbagai kelab gergasi lain di seantero Eropah yang turut mempertimbangkan perkara serupa.

Dijangka pelbagai berita buruk lain bakal melanda Chelsea dalam tempoh hari-hari yang mendatang.

Berdasarkan perkembangan terkini, ada dua perkara yang pasti: Sekatan ini tidak akan tamat dalam tempoh yang singkat dan Chelsea tidak mungkin akan kekal serupa seperti sebelumnya.