Baru-baru ini heboh di surat akhbar dan artikel atas talian yang mengatakan bahawa pemain import Selangor, Andik Vermansyah, telah disingkirkan oleh pihak pengurusan tanpa ada perbincangan di antara kedua-dua pihak.

Andik, yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut, dikhabarkan terkejut dengan keputusan yang dibuat pengurusan Selangor apabila tidak mendaftarkan namanya untuk saingan musim 2017.

Selaku peminat pasukan Lembah Klang, penulis yang mengikuti perkembangan Selangor dari semasa ke semasa berasakan bahawa pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) harus segera membuat sidang media bagi menjelaskan keadaan sebenar, sama ada benar atau tidak bahawa mereka telah menamatkan khidmat Andik.

Ini kerana kehadiran pemain kelahiran Brazil yang mempunyai kerakyatan Timor Leste, Juliano Mineiro Fernandes, yang dikhabarkan telah pun menandatangani kontrak bersama pasukan The Red Giants selain tiga lagi pemain import, iaitu Francis Forkey Doe, Ugochukwu Ukah dan Victor Astafei.

Secara tidak langsung, ini menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan dan situasi Andik yang telah tiga tahun menabur bakti bersama Selangor.

Secara peribadi, penulis beranggapan bahawa situasi Andik sama seperti situasi pemain Kedah, Sandro da Silva, yang direhatkan kerana mengalami kecederaan, diganti dengan pemain lain, dan apabila sudah pulih, dia kembali di dalam skuad utama Lang Merah.

Ini kerana Andik masih lagi mempunyai kontrak bersama Selangor, namun faktor kecederaan lutut menyebabkan dia memerlukan masa untuk berehat panjang dan Selangor pastinya tidak mahu kerugian gagal menggunakan khidmat Andik atau kuota import untuk tempoh yang lama.

Setakat ini, masih belum ada apa-apa penjelasan diberikan oleh pihak FAS, namun peminat setia Selangor tentunya mahukan pencerahan diberikan dengan kadar segera.

Sama ada Andik masih bersama Selangor? Atau mungkin ditamatkan kontrak? Atau mungkin direhatkan? Atau mungkin juga sedang diintai oleh pasukan lain? Hanya FAS yang boleh memberikan pencerahan.