Pejam celik, pejam celik, siapa sangka kita sudah pun memasuki minggu ke-10 di Arena Bootcamp.

Boleh dikatakan minggu yang paling susah di Bootcamp setakat ini. Tapi susah macam mana pun, saya berani berkata semua personaliti Astro Arena yang terlibat "enjoy" dengan latihan yang disediakan.

Sakit macam mana pun, hasilnya dah boleh kelihatan pada setiap orang. Bangga nya!

Beribu burpees semenjak hari pertama, siapa sangka, hari Khamis yang dahulunya digeruni kerana merupakan hari temujanji buat Kumpulan 2 bersama Nana dan Kam, kini merupakan hari yang saya tak sabar nantikan di setiap minggu. Kumpulan 1 pula dijadualkan pada setiap hari Selasa, jadi geng ini lah yang selalu memberi kami "soalan bocor" tentang rutin yang disediakan untuk minggu tersebut.

Kali pertama berjumpa Nana dan Kam, Tuhan sahaja yang tahu perasaan cemas setiap kali mereka membuat penjelasan tentang rutin yang akan dilakukan. Percayalah, selepas tamat sahaja minggu pertama bersama mereka, saya demam teruk dan kalau boleh, hendak sahaja berhenti Arena Bootcamp!

Minggu kedua pula, perasaan takut masih lagi ada. Rasa cemas masih lagi menghantui diri setiap kali Nana ataupun Kam memulakan kiraan ketika "Overhead Wall Squat"...

"1 minit lagi! 40 saat lagi! 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2,.......1!"

Nak terpengsan tau?

Namun pada minggu ketiga dan seterusnya, perasaan takut dan cemas itu semakin pudar dan diganti dengan perasaan mahu mencabar diri dan tidak sabar mahu melihat keputusan.

Jika dulu hati berdegup kencang tiap kali Nana dan Kam mengarahkan kami menimbang berat badan untuk melihat peratusan lemak dan otot, kini hampir setiap minggu boleh melepaskan nafas lega melihat nombor yang dipaparkan oleh mesin penimbang.

Jika dulu overhead wall squat boleh membuatkan kaki saya terasa seperti agar-agar kerana tidak larat bertahan selama seminit sambil membawa beban 5kg, kini bawa 10kg pun tiada masalah lah! Cheh.

Jika dulu nak tolak dua kali ganda berat badan saya sudah boleh membuatkan air mata terkeluar tanpa henti, kini nak tolak dan tarik 120kg tidak menjadi masalah lah! Walaupun tidak sepantas abang-abang sado seperti Burn dan Haji Zainal Abidin Rawop, tapi.... saya boleh lah bangga sedikit. Hehe!

Satu perkara yang saya susah sedikit nak pandai sepanjang 10 minggu ini adalah rutin "bear crawl". Suruh lah saya lompat ke, panjat tali ke, semua saya sanggup buat tapi bila sebut sahaja "bear crawl" yang melibatkan merangkak tanpa membenarkan lutut bertemu dengan lantai sambil menolak beban 10kg.... Alahai. Boleh demam orang dibuatnya! Jerit macam mana pun Nana dan Kam, "Dayang! Jangan buang masa! Dayang! Cepat!", maaflah, saya masih belum mampu, masih belum larat untuk menyempurnakan rutin ini di bawah satu minit.

Berbeza lah dengan Rizal Hashim, Asmawi Bakiri, Hasnizam Uzir dan Dato' Mirnawan Nawawi. Sepantas kilat, macam hero dari filem Marvel dah saya tengok. Adakah mereka sebenarnya dari kumpulan The Avengers tanpa kita ketahui selama ini? Hmm...

Hasnizam Uzir siap berkata "beruang sudah mengamuk!!"

Dannn secara jujurnya, ini membuatkan saya berasa sedikit kecewa dengan diri sendiri kerana tidak berjaya menamatkan cabaran "bear crawl" di bawah 1 minit seperti yang ditetapkan oleh Nana.

Nak tahu lebih lanjut tentang "bear crawl" dan "amukan beruang" pada minggu ke-10 Arena Bootcamp? Haaa pastikan anda menonton Arenarama jam 9 pagi pada Ahad ini! Jumpa lagi di artikel seterusnya!