Selepas skuad negara di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal menjuarai Kejohanan Bolasepak Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 setelah menewaskan Indonesia dengan aggregate 4-2, ia telah memberi satu ilham kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Hj Ahmad Shah, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia pada ketika itu, untuk mewujudkan satu program di peringkat akar umbi bagi memastikan negara kita terus melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti demi masa depan bola sepak negara.

Idea Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Hj Ahmad Shah itu telah disampaikan kepada kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, yang pada ketika itu dipimpin oleh Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai menterinya.

Pada tahun 2011, kerajaan telah meluluskan satu peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk mewujukan satu program bola sepak yang dinamakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN).

Bermula dari saat itu, tiga pemegang taruh telah memainkan peranan untuk menggerakkan PPBN iaitu Majlis Sukan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan FAM.

Hasil daripada kerjasama pemegang taruh ini, pada tahun 2012 telah berdirinya satu pusat latihah elit di peringkat akar umbi yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf antarabangsa di Gambang, Pahang, di atas tanah kurniaan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Hj Ahmad Shah yang kini dikenali sebagai Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) melalui peruntukan yang disediakan KBS.

Semenjak wujudnya program pembangunan itu, ia telah menjadi satu harapan kepada seluruh rakyat Malaysia di mana pada satu hari nanti, Malaysia berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti tinggi dan mampu bersaing diperingkat dunia.

Kerjasama yang baik di antara pengurusan AMD dan FAM, yang dipimpin oleh Datuk Hamidin Mohd Amin, kebelakangan ini telah memudahkan cara untuk sebarang aktiviti bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

FAM sebagai ahli gabungan AFC telah memainkan peranannya sebagai pemegang taruh bola sepak Malaysia untuk membantu pengurusan PPBN dan AMD sehingga diiktiraf oleh AFC dalam Skim Pembangunan Belia Elit dengan mendapat dua bintang mengikut kriteria yang ditetapkan.

Ini perkembangan yang sihat dan telah menunjukan satu sinar baru di atas usaha yang telah dilakukan MSN,KPM dan FAM.

Semoga apa yang diilhamkan oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Hj Ahmad Shah ini akan menjadi realiti suatu hari nanti. Tahniah juga diucapkan kepada semua pengurusan AMD dan FAM yang bertungkus-lumus menyiapkan dokumentasi yang lengkap sehingga AFC mengiktirafnya.