Tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tidak mengiktiraf aksi persahabatan antara New Caledonia dan Malaysia pada 22 Jun lalu seharusnya menjadi pengajaran buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tanpa pengiktirafan FIFA, perlawanan tersebut tidak boleh diklasifikasikan sebagai aksi antarabangsa Kelas A dan kemenangan 2-1 skuad negara pada perlawanan tersebut tidak menyumbang kepada pungutan mata untuk ranking dunia.

Insiden ini seharusnya boleh dielakkan, memandangkan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Hamidin Mohd Amin juga adalah Setiausaha Agung FAM dan mungkin lebih baik aksi itu dibatalkan terus.

Memang benar, kesalahan berpunca daripada Persatuan Bola Sepak New Caladonia yang tidak dapat menyediakan tiga pegawai perlawanan yang didaftarkan dengan FIFA sebagai syarat utama mengadakan aksi persahabatan Kelas A.

Namun,ia memberi kesan juga kepada skuad kebangsaan dan FAM kerana tujuan utama siri aksi persahabatan di Oceania adalah untuk meningkatkan ranking dunia skuad negara sebelum berdepan lawan lebih kuat menjelang Piala Suzuki AFF.

"Berlandaskan pengalaman saya berurusan dengan FIFA, mereka tegas dalam melaksanakan syarat pertandingan antarabangsa walaupun ia sekadar aksi persahabatan.

"Tidak mungkin FIFA menerima rayuan FAM, kerana keputusan akan dibuat berlandaskan laporan perlawanan yang dihantar New Caledonia selaku tuan rumah.

"Dan tanpa bilangan pegawai perlawanan mencukupi yang didaftarkan dengan FIFA, mereka tidak akan mengiktiraf aksi tersebut sebagai Kelas A," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John ketika dihubungi Nadi Arena baru-baru ini.

Windsor turut menyarankan FAM dan ahli gabungannya yang lain untuk lebih waspada dalam mengadakan aksi persahabatan antarabangsa dengan lawan dari benua lain kerana ia wajib mendapat pengiktirafan FIFA.

Secara peribadi, penulis berharap tiada lagi insiden seperti ini berlaku di masa depan kerana sedikit sebanyak, ia turut menjejaskan imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.