England kini hanya selangkah untuk ke mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Slovakia 2-1 serta mudah menepati jangkaan mengungguli tangga teratas Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Dunia zon Eropah.

Di atas kertas, barisan pemain skuad The Three Lions didominasi oleh pemain-pemain muda seperti Harry Kane, Dele Alli, Marcus Rashford serta Eric Dier yang mengimbangi pasukan kendalian Gareth Southgate.

Apa yang menarik perhatian ketika aksi menentang Slovakia bukanlah perjalanan England menuju ke Russia tetapi insiden Alli menunjukkan isyarat lucah.



Tindakan berani mati Alli itu dilihat seperti ditujukan kepada pengadil perlawanan dari Perancis, Clement Turpin, namun bingkas dinafikan oleh Southgate ketika sidang media dan mempertahankan anak buahnya itu.

Alli kemudian menulis menerusi laman sosial Twitter peribadinya dengan menjelaskan isyarat itu ditujukan kepada rakan sepasukan, Kyle Walker.

Tidak kira kepada siapa isyarat itu diberikan, tindakan Alli itu tetap dianggap sesuatu yang bodoh kerana ia pastinya akan memberikan impak negatif kepada seorang pemain, terutama pemain muda sepertinya yang baru mula melangkah ke era elit seorang pemain bola sepak.



Cristiano Ronaldo dikecam baru-baru ini kerana menolak pengadil perlawanan ketika aksi Piala Super Sepanyol menentang Barcelona sehingga menyebabkannya digantung lima perlawanan, begitu juga Lionel Messi yang digantung empat perlawanan selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil ketika mewakili Argentina menentang Chile, Mac lalu.

Perkara sama turut dilalui Antoine Griezmann yang terpaksa menjalani penggantungan dua perlawanan selepas melakukan protes terhadap pengadil yang mendakwa pemain Perancis itu sengaja menjatuhkan diri ketika perlawanan melibatkan Atletico Madrid dan Girona dalam aksi pembukaan LaLiga musim 2017/18.

Kesemua insiden di atas melibatkan pemain dan pengadil, namun apa yang membezakan kes Alli dan tiga pemain ini adalah ia bukan melibatkan rasa tidak puas hati tetapi dengan niat hanya mahu berjenaka!



Jika didapati bersalah, Alli mungkin digantung tiga perlawanan, sekaligus akan terlepas dua aksi terakhir kelayakan menentang Slovenia dan Lithuania, dan jika England berjaya ke Russia 2018, dia hanya dibenarkan beraksi dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Tidak kira apa hukuman yang diterimanya, Alli pasti membuatkan Southgate pening memikirkan percaturan selepas ini walaupun pengurus berusia 47 tahun itu memuji aksinya ketika menentang Slovakia dan mempertahankannya sebelum ini.

Alli seharusnya lebih matang dan seperti kata legenda skuad England, Ian Wright, pemain Tottenham Hotspur itu pasti termenung memikirkan tindakannya itu ketika memasuki bilik persalinan. Alahai, Alli.