KL Gangster antara filem melayu yang digemari penulis. Ini kerana bagi penulis, filem arahan Syamsul Yusof itu cukup memenuhi kriteria sebagai filem genre aksi selain lakonan mantap oleh Aaron Aziz, Ady Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak.

Malah, dialog dalam filem terbitan Skop Production itu cukup bersahaja dan antara yang masih segar dalam ingatan penulis "aku taat pada yang satu", oleh Ady Putra melakonkan watak Jai.

Pasukan Kedah juga mempunyai individu bernama Jai. Dia ialah Rizal Ghazali, pertahanan kental skuad Hijau Kuning yang mesra disapa dengan panggilan itu di kalangan rakan-rakan dan ahli keluarganya.

Saham Rizal atau Jai kini tinggi selepas mencipta nama ketika aksi final Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam Ahad lalu susulan menjadi wira kemenangan Kedah untuk muncul sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Dua hari selepas kejayaan bersejarah Kedah, sebuah akhbar tempatan melaporkan nilai pemain berusia 24 tahun dari Baling, Kedah itu kini mencecah 5 juta ringgit jika mana-mana pasukan mahu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Penulis tidak pasti sejauh mana kebenaran laporan yang sudah menjadi viral di laman sosial itu, tetapi penulis percaya harga Jai akan melambung tinggi daripada sebelum ini berdasarkan kualiti diperagakannya ketika ini.

Jai memulakan karier bersama Perlis selama tiga tahun sebelum berhijrah ke Kedah pada 2014 selepas aksinya menarik perhatian penolong pengurus Kedah ketika itu, Amirul Nidzam Mahadzir.
Meskipun kehadiran Jai yang gemar sukan Muay Thai sebagai pemain sayap, namun khidmatnya lebih diperlukan sebagai pemain pertahanan kanan oleh Tan Cheng Hoe.

Keputusan pengendali Lang Merah itu menukar posisi Jai ternyata satu keputusan tepat apabila dia membantu kecemerlangan skuad hijau kuning sehingga berjaya memikat pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Tatkala kontraknya bersama Kedah dikhabarkan sudah berakhir bulan ini, Jai belum menentukan masa depannya.

Namun, Jai ketika ditemui penulis sebelum berangkat ke Port Dickson pada Rabu memberi bayangan untuk kekal di negeri Jelapang Padi, seolah gambaran terhadap perasaan yang terbuku dalam hatinya "aku taat pada yang satu".