"Sewaktu kamu tiba, kamu hanyalah seorang anak muda, kemudian kamu bertukar menjadi pemain terbaik sepanjang zaman.

"Kamu menjadikan kelab kita berkembang maju ke suatu tahap yang selayaknya dikecapi, kamu mencatatkan sejarah tersendiri daripada segi individu, begitu juga daripada segi pasukan.

"Aku cukup bangga kerana telah dapat berkongsi begitu banyak detik bermakna bersama kamu.

"Aku cukup bertuah kerana dapat membesar dan bergembira bersama kamu sepanjang 13 musim lamanya."

Coretan penuh beremosi rakan sepasukan, Sergio Busquets, di laman Instagram memecahkan kebisuan pemain Barcelona sejak berita tergempar tentang pemergian Lionel Messi diumumkan kelmarin.



Di perkarangan stadium Camp Nou, beratus-ratus penyokong berkumpul untuk menzahirkan kemarahan serta kesedihan mereka.

Paling menonjol antara mereka adalah seorang lelaki yang menangis teresak-esak sambil memegang erat jersi nombor 10 milik Messi.

Dia hanya mampu menitiskan air mata dan menuding-nuding ke arah stadium, pastinya dengan harapan agar berita yang diterimanya hanyalah satu gurauan semata-mata.

Kurang dari 24 jam sebelumnya, pengerusi baru Barcelona, Joan Laporta, mengumumkan satu ayat ringkas yang pastinya akan terngiang-ngiang di minda bukan sahaja penyokong Barcelona tetapi peminat bola sepak seantero dunia.



"Rundingan bersama Messi telah berakhir. Kami tidak boleh mendaftarkan dia kerana peraturan La Liga, mereka tidak akan memberikan kami kelonggaran daripada sudut had gaji.

“Asalnya kami telah mencapai persetujuan bersama Messi tetapi sekarang kami tidak lagi mampu untuk mendaftarkan dia."

Dengan kenyataan ringkas berkenaan, berakhirlah episod pemain terbaik dunia kelahiran Argentina itu bersama Barcelona.

Detik-detik manis yang diciptanya sejak lebih dari sedekad lalu; gelecekan dari tengah padang yang menewaskan enam pemain Getafe, tandukan tajam untuk membenam Manchester United dalam perlawanan kemuncak Liga Juara-Juara, golnya yang ke-500 yang hadir sewaktu menewaskan musuh tradisi, Real Madrid -- kesemua itu hanya bakal tinggal kenangan manis buat penyokong Barcelona.

Secara ringkas, pemergian Messi ini berpunca daripada kecemerkapan Barcelona dalam mengendalikan urusan kewangan mereka.

Disebabkan oleh hutang keseluruhan Barcelona yang setinggi berbilion-billion dolar, mereka dipaksa oleh peraturan 'Financial Fair Play' Liga Sepanyol untuk mengehadkan jumlah maksimum gaji pemain mereka.



Biarpun Messi telah bersetuju untuk mengurangkan gajinya sebanyak 50 peratus, ia masih lagi tidak mencukupi untuk mendapat kelulusan.

Kini, sebagai antara pemain terbaik dunia, gaji Messi hanya mampu ditanggung oleh kelab-kelab bola sepak yang paling utuh kewangannnya, dan calonnya tidaklah banyak.

PSG, Manchester City dan Chelsea, dan selain tiga kelab ini, boleh dikatakan tidak ada kelab lain yang mampu.

Disebabkan Manchester City sudah membelanjakan sebanyak €100 juta (RM500 juta) untuk membeli Jack Grealish, mereka kini dikhabarkan tidak lagi mampu untuk berbelanja ke atas Messi.

Biarpun Chelsea dikhabarkan menaruh minat juga, PSG nampaknya adalah calon utama sebagai destinasi Messi yang seterusnya.

Menurut akhbar Perancis, L'Equipe, PSG sudah pun bersedia untuk menawarkan gaji setinggi €40 juta (RM200 juta setahun) demi Messi dan rundingan bersama ahli keluarganya sudah pun dijalankan.

Trio Neymar, Mbappe dan Messi sudah pun disebut-sebut bakal menggegarkan kancah Eropah pada musim depan.

Sejujurnya, biarpun berita tentang pemergian Messi sudah pun disebut-sebut sejak awal tahun ini lagi, rasa terkejut apabila ia akhirnya menjadi satu realiti bukan mudah untuk dihadamkan.

Akhir kata, tatapilah coretan seorang lagi pemain Barcelona, Gerard Pique.



"Kita bertemu pada tahun 2000, pada waktu itu kita baru berusia 13 tahun.

"Kerjaya bola sepak kita terbentang luas di hadapan mata, dan sesungguhnya betapa megahnya pencapaian yang telah kita catatkan bersama, mustahil untuk kita mengecapi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah kita lalui.

"Sekarang, kamu bakal pergi akhirnya, tetapi aku tahu satu hari nanti kamu bakal kembali juga, kerana masih ada terlalu banyak perkara yang masih belum kita sudahkan.

"Bergembiralah tidak kira ke mana pun kamu pergi, teruskanlah mencapai kemenangan kerana itulah satu-satunya perkara yang kamu tahu.

"Kami akan sentiasa merindui kamu di sini.

"Aku sayangkan kamu, Leo."