Saya mungkin salah seorang daripada jutaan penyokong tegar skuad bola sepak kebangsaan yang tidak pernah padam impian untuk mendongak ke langit. Melangkaui kepulan awan dan sepantas kilat menuju ke bumbung dunia, merayakan kejayaan skuad bola sepak Malaysia di pentas keagungan.
Biarpun kami sedar bukan kepalang ranjau menanti, betapa rakusnya janji dimomokkan, tidak terhitung pula isu yang terpalit -- kami tetap teguh di belakang Harimau Malaysia.
Saya sudah mula menyarung replika jersi pasukan Malaysia ketika menjejaki alam persekolahan peringkat menengah pada awal 90 an. Itupun hasil simpanan daripada wang saku yang diberikan keluarga dan yang pasti bukan jersi cetakan asli. Tetapi semangat berkobar untuk menyokong Malaysia walaupun saya tahu, ketika itu Malaysia hanya hebat di pentas Pestabola Merdeka semata-mata.
Sehingga kini, saya masih memilik banyak replika jersi pasukan bola sepak kebangsaan yang pasti tersarung tatkala Malaysia beraksi di mana-mana kejohanan sekalipun. Saya tahu dan saya pasti bersandarkan situasi semasa, bola sepak Malaysia tidak akan ke mana. Tidak akan berada dalam kelompok elit walau di Asia Tenggara.
Lihatlah apa yang dipersembahkan Malaysia di Myanmar dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF lalu. Kita dicanang mampu untuk melangkah ke separuh akhir, kita dimomokkan dengan cerita tentang adunan pemain yang dianggap terbaik. Dan sebagai penyokong yang cintakan bola sepak Malaysia, saya percaya, yakin dan optimis apa yang dicanang dan dirancang mampu dilaksanakan. Sebab -- Saya sayangkan bola sepak Malaysia.
Tapi! pernahkan mereka terfikir, betapa ramainya rakyat Malaysia yang sayangkan bola sepak kita walaupun cacian dan makian dilempar merata-rata. Kami marah sebab kami sayang, kami cerca sebab kami cinta. Dan saya menyeru kepada semua penyokong bola sepak negara, teruskan laungan gemuruh di belakang skuad bola sepak Malaysia.
Kerana saya yakin, suatu hari nanti, ada tangan yang mampu menggoncang dan mengubah lanskap bola sepak negara!
Cuma kadang-kadang saya rasakan seperti: Hanya aku saje yang sayang kau! Kau saje yang tak sayang aku!
Ayuh! bangkitlah Harimau Malaysia.