Fuh! pagi minggu aku di sebuah gerai nasi lemak paling sedap di Wangsa Maju dah jadi macam tempat berforum. Semuanya gara-gara sejarah yang dicipta Johor Darul Takzim menjulang Piala AFC.

Ramai jugak yang datang menghirup teh tarik sambil menyuap nasi lemak ayam kampung dengan memakai jersi JDT. Baru ku tahu ramai rupanya warga Johor di Wangsa Maju.

Berbalik kepada perbualan rancak 4 pemuda yang saya anggap sebagai pengikut setia perkembangan bola sepak negara. Apa yang mereka bicarakan adalah mengenai Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM).

Mereka mencadangkan agar kepimpinan FAM atau lebih tepat kerusi Presiden disandang Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Antara hujah yang saya dengar ialah perlunya perubahan 'mindset' atau pemikiran di kalangan pemimpin atau golongan orang lama dalam FAM.

''Kenapa perlu ego dan menganggap golongan muda tidak mampu memimpin?" kata seorang dari 4 pemuda ini. "Lihat sahaja apa yang telah di lakukan Tunku Ismail pada bolasepak Johor. Dulu aku nak pakai jersi Johor pun aku malulah, stadium Larkin bersawang Tapi sekarang? Bukan saja bola Johor tapi semua! Sampaikan Kementerian Belia & Sukan pun ikut cara JDT jaga rumput stadium!".

Lalu saya teringatkan kenyataan baru-baru ini bahawa hanya JDT satu-satunya pasukan yang sudah bersedia untuk mengharungi perubahan penswastaan Liga Malaysia dari semua segi. Maknanya tiada lain pasukan selain JDT yang bersedia termasuk pasukan gergasi lain.

Dari segi pencapaian JDT terlalu jauh meninggalkan pasukan lain. Nama JDT tersemat di sanubari peminat bolasepak seluruh Asia terutama Al Qadsia ( juara 2014 ) dan semestinya Tajikistan. Saya bukan mahu bias tetapi itulah hakikatnya.

Berubahlah wahai pendokong bolasepak negara. Ketepikan sentimen remeh andai mahu lihat bolasepak negara berkembang pesat.

Apabila saya menyapa kumpulan 4 pemuda itu sebelum saya berlalu - " Apa yang saudara-saudara mahukan ?". Salah seorang membalas dengan agak kuat " Aku nak TMJ jadi Presiden FAM!". Hampir tersembur kopi o sahabat di sebelahnya, dan aku tersenyum meninggalkan mereka yang meneruskan 'perdebatan' gerai nasi lemak.