Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pentas saya mula mengenali skuad Paralimpik negara daripada hati ke hati, bagaimana insan dilahirkan serba kekurangan berupaya menawarkan seribu harapan.

Waktu itu program paralimpik negara menuju kemuncak berdepankan wajah seorang yang cukup luar biasa, Allahyarham Azlan Mat Lazin.

Allahyarham merintih setiap kesukaran sebagai individu yang lahir dengan komplikasi "Cerebral Palsy" berupaya mengajar saya apa itu erti mengatasi setiap cabaran dalam kehidupan.

Di sebalik kekurangan dan kecederaan yang dialaminya menjelang temasya, Azlan tetap menghadiahkan Malaysia tiga pingat emas, pencapaian yang tidak mungkin ditandingi mana-mana atlet paralimpik dalam dunia ini untuk tempoh yang panjang.

Masih segar dalam ingatan saya saingan 100 meter yang menyaksikan penamat menakjubkan satu dua Malaysia daripada Allahyarham dan bintang paralimpik negara waktu ini, Ridzuan Puzi.

Mereka ibarat adik-beradik yang saling mencabar prestasi di atas balapan, namun pada waktu mereka berdua mengibar Jalur Gemilang selepas perlumbaan itu, saya dapat rasakan tidak ada sekelumit iri hati antara dua pejuang sukan tanah air ini.

Azlan kemudian dicanang sebagai harapan emas paralimpik Rio sebelum sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila dia kembali bertemu ilahi pada Januari 2015, kehilangan yang merentap jiwa setiap yang mengenalinya dan sudah pasti Ridzuan.

Jika Allahyarham masih ada, tanpa sebarang keraguan, dia akan berbangga melihat Ridzuan memastikan misi emas paralimpik Rio tidak pergi bersamanya.

Saya percaya itu yang menjadi pembakar semangat Ridzuan berlatih saban hari melebihi kemampuannya untuk mengukir senyuman buat Malaysia menerusi emas dari bumi Brazil.

Terima Kasih Ridzuan dan buat Allahyarham Azlan, Aku amat merinduimu sahabatku.