Pasukan manakah akan menjuarai kejohanan bola sepak berprestij di Malaysia dan antara kejohanan tertua di rantau Asia itu yang kini memasuki edisi ke-89, persoalan itu hanya akan terjawab malam esok.

Berdasarkan prestasi semasa, Kedah mahupun Selangor miliki peluang seimbang untuk meraih kejuaraan meskipun kedua-dua pasukan langsung tidak dicanang juara pada awal kempen.

Begitupun, aura skuad Helang Merah tampak lebih menyerlah untuk membawa pulang trofi kejuaraan yang dimenangi Pahang tahun lalu walaupun hadir dengan status pasukan Liga Perdana.

Ini berdasarkan corak permainan berseni pasukan ini selepas falsafah bola sepak Sepanyol diterapkan dalam diri pemain Kedah sejak kehadiran Ramon Marcote Pequeno.

Pengendali berusia 44 tahun dari Sepanyol itu menyertai Kedah awal tahun ini sebagai jurulatih kecergasan namun difahamkan sumbangannya lebih daripada tugasan hakikinya.

Maka, tidak hairan beliau yang mempunyai pengalaman kejurulatihan bersama kelab La Liga Sepanyol Atletico Madrid tidak berdepan masalah membawa Kedah ke perlawanan akhir walaupun memangku tugas ketua jurulatih dalam tempoh singkat.

Kehebatan skuad Hijau Kuning juga terserlah apabila merupakan pasukan paling banyak menghasilkan jaringan setakat ini dengan 23 gol daripada 10 perlawanan.

Pengaruh "La Roja" sememangnya beri impak kepada anak buah Tan Cheng Hoe, namun sejauh manakah corak permainan mampu menjamin kejayaan sesebuah pasukan, sama-sama kita nantikan.