10 pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT), lima dari Perak, dua dari Felda United, Pahang dan Selangor serta masing-masing satu dari Kedah dan Pulau Pinang melengkapkan senarai 23 pemain yang akan membawa nama Malaysia bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand.

Antara muka baru yang mendapat panggilan adalah Hadin Azman dari Felda United dan Khairil Anuar Zamri (Beto) dari Perak.

Hadin, kali terakhir mendapat panggilan pada Mac lalu dan Beto pula pertama kali bersama skuad senior kebangsaan dan peluang ini hadir berikutan kecederaan yang menimpa Darren Lok dan Baddrol Bakhtiar. Sementara itu, Junior Eldstal yang mendapat panggilan turut digugurkan atas permintaannya sendiri kerana alasan peribadi.

Harimau Malaya akan berdepan Korea Utara di Buriram dan kemenangan amat-amat diperlukan bagi menghidupkan misi ke Piala Asia 2019.

Bagi Dayang, senarai pemain yang dipanggil kali ini antara yang terbaik dimiliki skuad Malaysia jika dibandingkan dengan yang sebelumnya.

Biarpun sesi latihan pertama hanya disertai 13 pemain kerana 10 pemain JDT masih lagi meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia, Dayang percaya kesemua senarai lengkap akan melapor diri secepat mungkin.

Dayang juga amat berharap agar kesemua pemain yang diketuai Safiq Rahim -- dilayangkan kad merah di Hong Kong -- mampu mempamerkan watak garang untuk membaham Korea Utara memandangkan kita perlu meraih mata maksima dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Perlawanan bertemu Korea Utara telah tertangguh beberapa kali atas faktor keselamatan dan logistik dan akhirnya venue pertandingan dilangsungkan di gelanggang berkecuali iaitu di Stadium I-Mobile, Buriram.

Malaysia kini menduduki ranking ke-170 dan Nelo Vingada masih bergelut untuk mencari kemenangan sulung Harimau Malaya di bawah kendaliannya.