Tanggal 24 Oktober di Guldensporen Stadion, satu sejarah baru bola sepak negara dilakar anak muda bernama Luqman Hakim Shamsudin apabila masuk sebagai pemain gantian pada minit ke 74 buat KV Kortrijk.

Aksinya mungkin hanya 16 minit, tapi saat Luqman melangkah masuk ia adalah satu langkah besar buat bola sepak negara kerana graduan pogram Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu sudah memahat namanya sebagai pemain pertama negara beraksi di saingan utama sebuah liga negara Eropah.

Tahniah Luqman, permulaan yang baik buat anda dan kini Malaysia boleh berbangga kerana sudah pun mempunyai seorang pemain yang mampu beraksi di peringkat tertinggi sebuah negara Eropah.

Mungkin ada netizen yang akan 'berbunyi' ada kabel bolehlah... tapi hakikatnya Luqman mendapat kepercayaan pengendali Kortrijk, Yves Vanderhaeghe untuk berada dalam skuad pasukan pada hari perlawanan Liga Jupiler berdepan Anderlecht, yang dikendalikan bekas pemain Manchester City, Vincent Kompany.

Berdasarkan kelibat Luqman yang penulis tonton ketika aksi berdepan Anderlect di laman Youtube, pemain sensasi muda negara itu beraksi di posisi kanan pasukannya dan memang tepat jangkaan penulis dalam beberapa artikel mengenai Luqman sebelum ini.

Namun, Luqman tampak dalam proses penyesuaian beraksi di posisi sayap kanan tetapi turut memberi impak dalam aksi berdepan Anderlecht apabila turut berjaya membantu pasukannya mendapatkan sepakan penalti dalam perlawanan itu yang berakhir dengan kekalahan 1-3 buat Kortrijk.

Seperti mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah lain, penulis percaya Kortrijk juga kini mempunyai pogram latihan khas untuk menambah baik fizikal Luqman.

Lihat saja perubahan fizikal bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo ketika dia mula tiba di Manchester United dari Sporting Lisbon pada pada musim pertama dan pada musim kedua.

Ia bukan pogram mudah dan memerlukan komitmen tinggi pemain untuk menambah baik fizikalnya dan penulis berharap Luqman mampu mengharunginya dengan baik.

Memandangkan Luqman kini berusia 18 tahun, dia mempunyai masa untuk terus meningkatkan fizikalnya dan apabila tampil lebih sasa, penulis yakin Vanderhaeghe akan kembali memberi peluang buat Luqman beraksi selaku penggempur utama.

Penulis percaya kejayaan Luqman beraksi dengan skuad utama Kortrijk di Liga Jupiler akan turut menyemarakkan semangat seorang lagi pemain negara.

Di Eropah ketika ini, Safawi Rasid yang bersama Portimonense di Liga Nos Portugal.

Seperti Luqman ketika baru tiba di Belgium, Safawi ketika ini hanya turut beraksi dengan skuad B23 pasukannya.

Tetapi berbeza dengan Luqman, penulis percaya Safawi yang sudah pun berpengalaman dengan skuad senior negara dan beraksi di Liga Juara-Juara AFC, tidak perlu menumpukan perhatian terhadap pembentukan fizikalnya.

Tetapi Safawi masih perlu mengadaptasi corak permainan bola sepak Portugal dan penulis optimis, sedikit masa lagi Malaysia akan mempunyai dua pemain beraksi di liga utama dua buah negara Eropah.

Perkembangan Luqman dan Safawi di Eropah kini pasti diikuti jutaan peminat bola sepak tempatan.

Penulis berharap kedua-dua mereka mampu mengharungi kejayaan dan memberi impak positif secara keseluruhan buat bola sepak Malaysia.