Jika ada anugerah, UiTM FC mungkin layak jadi pemenang sebagai pasukan yang paling bijak melakukan pencarian pemain import musim ini.

Melalui bajet cukup rendah, tidak dinafikan banyak pasukan yang berbelanja besar akan mencemburui kejayaan UiTM memikat tiga pemain import yang cukup berkualiti iaitu Akanni Sunday Wasiu, Dechi Marcel N'Guessan dan Do Dung-Hyun.

Biarpun tiada sebarang trofi diraih, itu bukanlah penanda aras sebenar buat UiTM yang mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan Institut Pengajian Tinggi pertama ke Piala Malaysia.

Bagaimanapun, pencapaian hebat dipamerkan tiga importnya itu membuatkan UiTM terpaksa membayar harga mahal selepas menjadi buruan kebanyakan pasukan di Liga Super, musim depan.

Paling hangat di pasaran sudah tentu Akanni Sunday yang kini sedang berunding dengan beberapa pasukan dengan Selangor difahamkan mungkin menjadi destinasi pilihannya.

Walaupun sudah berusia 33 tahun, Akanni buktikan dia masih bertaring untuk beraksi di Liga Malaysia melalui kekuatan fizikal serta ketinggian yang dimiliki oleh penyerang berasal dari Nigeria itu.

Berdasarkan perkhabaran Selangor yang melepaskan Francis Forkey Doe, Akanni menjadi pilihan paling sesuai atas dua faktor iaitu lebih ekonomi dan sudah terbukti keberkesannya beraksi di Liga Malaysia.

Mungkin juga Akanni akan ke Felda United kerana perkhabaran dari kem Kedah, Thiago Augusto sedang kembali dipancing ekoran berita Ken Ilso bakal membawa diri.

Di mana destinasinya, Akanni yang dikenali penulis sebagai seorang pemain yang mudah menyesuaikan diri dan mesra dalam kalangan pemain serta wartawan, perlu bersiap sedia dengan jangkaan tinggi pihak pengurusan baru kepada dirinya.

Bukan seorang dua penyerang import yang beraksi cemerlang di awal musim tetapi longlai pada tahun-tahun berikutnya.

Seorang lagi watak penting UiTM, Dong-Hyun, pula kini berada dalam radar Melaka United selain beberapa pasukan Liga Perdana lain.

Berbanding Akanni, Dung-Hyun masih muda lagi iaitu baharu berumur 23 tahun dan mana-mana pasukan berjaya memikatnya mungkin boleh gunakan khidmat pemain dari Korea ini untuk jangka panjang.

Buat UiTM, mereka kini terpaksa bermula daripada kosong terhadap pencarian import musim 2018 dan adakah mereka mampu dapatkan kualiti setanding Akanni, N'Guessan dan Dong-Hyun?



Gambar kredit: Facebook UITM FC