Manchester United akan merosakkan Maradona, Maldini dan Pele.

Barangkali benar kata-kata itu sehingga Erling Haaland memilih untuk tidak ke Old Trafford dan terbaru, Edinson Cavani dan Bruno Fernandes dilaporkan mungkin menuruti langkah yang sama di samping Paul Pogba harus angkat kaki pada hujung musim nanti.

Sejurus diaibkan pasukan kelompok bawahan, Burnley, 0-2 di Old Trafford awal pagi kelmarin, Ole Gunnar Solskjaer melaungkan keyakinan United kendaliannya -- sejak Disember 2018, awalnya selaku pengurus sementara -- akan menyerlahkan peningkatan dengan beberapa pembelian baru bulan ini.


JADI SASARAN... Ed Woodward dan (di belakangnya), Avram Glazer dicemuh penyokong

Soalnya siapakah yang akan didapatkan mereka dan siapa pula yang sudi ke Old Trafford ketika ini?

United sebelumnya kuat dikaitkan dengan pemain tengah Sporting CP, Bruno Fernandes, di sebalik laporan terkini media British mencadangkan kedua-dua kelab itu gagal mencapai kata sepakat terhadap yuran perpindahan pemain antarabangsa Portugal itu.

Seakan-akan mengiyakan gembar-gembur itu, Solskjaer dipetik BT Sport sebagai sekadar berharap dapat memperkuatkan pasukan di sebalik gagal memberi jawapan sama ada dia mendapat sokongan penuh daripada lembaga pengarah kelab berkenaan.

Dengan Marcus Rashford masih terus tersisih gara-gara kecederaan, The Red Devils turut berharap untuk memancing penyerang antarabangsa Uruguay, Cavani. Namun, bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu khabarnya lebih cenderung untuk menyertai Atletico Madrid dalam LaLiga.

Soccer Link memetik Pengarah Sukan PSG, Leonardo, sebagai menuntut €25 juta (RM112 juta) daripada Atletico sebagai syarat persetujuan melepaskan ‘El Matador’ bulan ini.

Di sebalik United dikatakan mampu menyaingi tawaran Atletico – gaji €12 juta (RM53.7 juta) setahun dan bonus menandatangani perjanjian sebanyak beberapa juta lagi – Cavani yang kini mendapat saingan sengit Mauro Icardi untuk posisinya di PSG, sudah membulatkan tekad untuk ke Wanda Metropolitano.

Seterusnya, sebarang cadangan United untuk menandatangani Fernandes daripada Sporting CP harus kini dalam bahaya selepas ejen terkenal, Jorge Mendes, mendedahkan beberapa kelab besar lain turut berminat mendapatkannya.

Fernandes sebelumnya dilaporkan hampir menandatangani perpindahan bernilai €58.6 juta (RM262 juta) tapi terbaru, Mendes mengesahkan Old Trafford bukan lagi pilihan destinasi tunggal pemain tengah berusia 25 tahun itu.

Semua perkembangan itu harus membuat Solskjaer menggaru kepala.


TANDA PROTES... penyokong meninggalkan stadium lebih awal ketika berdepan Burnley

Tambahan pula, dia terdahulu terlepas penyerang muda Salzburg, Haaland, yang membuat United tersentak apabila dia menyertai Borussia Dortmund – kelab di mana dia telah menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan sebagai pemain gantian.

Menyusuli keputusan mengejut Haaland ke Bundesliga itulah, ejen super, Mino Raiola, merumuskan United akan merosakkan Maradona, Maldini dan Pele kerana naib pengerusi eksekutifnya, Ed Woodward, dan lembaga pengarahnya mengendalikan kelab itu “di luar realiti”.

Seperti mencurah petrol ke api, Raiola turut membayangkan Pogba akan angkat kaki pada penghujung musim ini, apatah lagi jika The Red Devils gagal mengesahkan slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Aduhai apalah nasib United?