Penjaga gol berpengalaman yang juga merupakan penjaga gol nombor satu Argentina suatu masa dahulu, Sergio Romero bersedia meninggalkan Old Trafford selepas gagal mencapai kata sepakat bersama pengurusan kelab.

Pasti umum sudah tahu bahawa kehadiran Dean Henderson yang mengambil tempat Romero selaku penjaga gol kedua di belakang David De Gea, telah mengakibatkan Romero tawar hati untuk kekal bersama United. Ini kerana biarpun jarang diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Romero sentiasa beraksi cemerlang sama ada di Piala FA dan Liga Europa. Akan tetapi, pelan jangka masa panjang pihak pengurusan United melihatkan mereka mempertaruhkan Dean Henderson yang musim lalu sangat cemerlang bersama Shieffield United. Secara tidak langsung, mangsa keadaan dalam situasi ini adalah Sergio Romero.

Malah, Romero sepatutnya dipinjamkan ke Everton musim ini, namun perjanjian itu tidak berlaku apabila United menghalang perkara tersebut yang menimbulkan rasa marah bukan sahaja Romero, tetapi juga isterinya yang terang-terangan mengutuk perkara tersebut. Tambah mengecewakan, nama Romero tiada dalam senarai pemain yang didaftarkan di Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara Juara Eropah untuk musim ini!

Penulis percaya, satu-satunya sebab yang membuatkan Romero menerima keputusan berada di belakang De Gea sebelum kehadiran Henderson adalah kerana gaji lumayan yang diterima biarpun tidak kerap beraksi. 70 ribu pound seminggu adalah jumlah yang sangat tinggi bagi penjaga gol kedua, lebih-lebih lagi dikala covid 19 sedang melanda. Tangga gaji yang tinggi itu juga menjadi faktor yang menyukarkan pasukan lain mendapatkan Romero biarpun mempunyai rekod yang baik.

Ini secara tidak langsung turut menyukarkan mana-mana pasukan memberikan tawaran kepada Romero kerana perlu mengikut tangga gaji yang beliau terima sekarang. Sebelum ini, Inter Miami yang beraksi di MLS pernah memberikan tawaran, namun permintaan gaji 100 ribu pound seminggu merencatkan perjanjian tersebut.

Dengan peluang beraksi bersama The Red Devils sudah tertutup musim ini selepas tidak didaftarkan dalam saingan utama, jalan terbaik buat kedua-dua pihak adalah melepaskan Romero pada Januari akan datang biarpun kontraknya masih mempunyai pilihan tambahan satu tahun.