Siapa sangka, pasukan Liverpool mampu melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu ?

Siapa sangka, kini Liverpool sedang memimpin carta Liga Perdana Inggeris mengetepikan pencabar lain?

Siapa sangka pemergian Philippe Coutinho ke Barcelona sebenarnya adalah satu keputusan tepat dibuat pengurusan kelab?

Dan siapa sangka, setelah sekian lama, Liverpool kini dibarisi pemain hebat seperti Mohamed Salah, Roberto Firminho dan Virgil Van Dijk?

Sejujurnya, sebagai salah seorang peminat The Reds, penulis melihat Liverpool mencatat kemenangan demi kemenangan dalam setiap perlawanan adalah sesuatu yang sudah lama dinantikan.

Keyakinan yang wujud setiap kali Liverpool beraksi juga kembali meningkat setelah sekian lama pasukan ini dipalit prestasi sendu dan tidak menentu. Jadi, penulis percaya, sesiapa juga yang merupakan peminat setia The Reds pasti tidak percaya dengan kedudukan Liverpool sekarang.

Jika dilihat pada pencapaian dalam Liga Perdana Inggeris, kali terakhir mereka merangkul gelaran juara adalah pada musim 1989/90 ketika era Liga Divisyen Satu dan selepas itu pencapaian terbaik mereka hanya menjadi naib juara pada musim 2001/02, 2008/09, dan 2013/14.

Selama hampir 30 tahun tanpa kejuaraan liga, penulis percaya andai momentum kemenangan mampu dikekalkan sehingga penghujung musim, Jurgen Klopp pasti akan dikenang sebagai wira yang berjaya mengembalikan semula kejuaraan liga ke Anfield setelah usaha beberapa pengurus terdahulu tidak berhasil.

Benar, saingan liga baru sahaja bermula dan macam-macam boleh berlaku tetapi andai Liverpool mampu memungut mata semaksima mungkin pada aksi liga, selain memanfaatkan prestasi tidak menentu seteru lain seperti Manchester United dan Arsenal, segalanya tidak mustahil.

Liverpool kini memegang rekod bersih dalam liga dengan 18 mata hasil daripada enam perlawanan dan pada awal pagi Ahad, mereka akan bertandang ke Stamford Bridge untuk bertemu pasukan di tangga kedua, Chelsea. Andai momentum kemenangan mampu dikekalkan, apakah rindu hampir 30 tahun akan terubat?