Bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, kembali ke pangkuan Pahang untuk musim 2017 selepas semusim bersama Perlis.

Kehadirannya dijangka mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan Pahang yang layu tak berseri bagi musim 2016 selepas melakukan rombakan besar-besaran yang tidak membuahkan hasil.

Umum pasti masih mengingati bagaimana Dollah membawa skuad Tok Gajah ke zaman kegemilangan sehingga muncul juara Piala Malaysia pada 2013, dan seterusnya legasinya disambung Zainal Abidin Hassan yang membawa pulang tiga piala, iaitu Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia ke Stadium Darulmakmur.

Namun, selepas itu sedikit demi sedikit orang -orang kuat Tok Gajah berhijrah, menyaksikan Pahang mengalami krisis prestasi, seterusnya terperosok ke tangga bawahan Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, tuah memang selalu memihak Pahang apabila kerap “diselamatkan”, sama ada menerusi pertukaran format mahupun penolakan mata pasukan lain yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dengan kembalinya Dollah, yang turut membawa beberapa pemain seperti Afif Amiruddin, diharapkan Pahang mampu kembali menjadi salah satu pasukan yang memberi saingan dalam pentas bola sepak tanah air.

Peminat setia Tok Gajah juga pasti merindui suasana di stadium keramat mereka di mana ia pernah menggerunkan setiap pasukan yang datang beraksi di Kuantan.

Jadikan kesilapan 2016 sebagai satu pengajaran berguna buat seluruh pengurusan bola sepak negeri Pahang dan bagi musim 2017, Dollah dan Pahang memerlukan masa untuk kembali membina reputasi yang tercalar dan pastinya mereka memerlukan dorongan dan sokongan hebat semua pihak, terutama sekali penyokong setia Tok Gajah.