Antaranya Madrid Derby (Atletico Madrid vs Real Madrid), Merseyside Derby (Liverpool vs Everton) dan semestinya Manchester Derby (Manchester United vs Manchester City).

Pada hujung minggu lalu, pertemuan antara Manchester United dan Manchester City menjadi sebuah perlawanan yang dinantikan seluruh peminat.


Mengikut statistik perlawanan lepas, perlawanan antara kedua-dua pasukan ini sering menjanjikan gol. 10 perlawanan derby lalu menghasilkan sebanyak 4.1 purata dalam jumlah jaringan, dan pada musim lalu, 6 gol terhasil di Old Trafford, dengan kemenangan berpihak kepada Manchester United.

Walaubagaimanapun, lain kisahnya pada musim ini, apabila setelah 90 minit perlawanan, tiada sebarang gol dijaringkan dan ramai yang melabelkan perlawanan ini sebagai membosankan.

Sejujurnya, keputusan 0-0 mungkin tidaklah begitu mengejutkan jika dilihat situasi kedua-dua pasukan sebelum bermulanya perlawanan.

Manchester United sudah diketahui ramai mempunyai kesukaran untuk menjaringkan gol musim ini. Walaupun menjaringkan 3 gol sewaktu menentang Everton dan Club Brugge, statistik menunjukkan pasukan The Red Devils sering tampak gagal untuk membuka peluang menjaringkan gol dalam perlawanan lain.

Wayne Rooney masih gagal menunjukkan persembahan meyakinkan, dan selain Anthony Martial, tiada pemain yang menunjukkan tanda-tanda untuk menjaringkan gol buat Manchester United.

Begitu juga dengan Manchester City. Ketiadaan penyerang utama, Sergio Aguero dan perancang utama, David Silva akibat kecederaan nyata dirasai apabila barisan hadapan City gagal memberi sebarang ancaman terhadap penjaga gol David De Gea.

Wilfried Bony gagal beraksi cemerlang, sementara pembelian sewaktu musim perpindahan, Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling berjaya dikekang dengan cemerlang oleh pertahanan Manchester United.

Barisan pertahanan kedua-dua pasukan juga harus dipuji. Chris Smalling, pemain yang mendapat pujian, dan dilabel sebagai antara pemain terbaik dunia di barisan pertahanan oleh Wayne Rooney sekarang, terus cemerlang mengemudi barisan pertahanan the Red Devils.

Sementara itu Louis Van Gaal pengurus Manchester United memberi pujian istimewa buat Marcos Rojo, yang beraksi cemerlang di bahagian bek kiri dan mengekang Kevin De Bruyne sepanjang perlawanan. Bastian Schweinsteiger dan Morgan Schneiderlin juga memberi bantuan di bahagian tengah.

Begitu juga bagi Manchester City. Keputusan Manuel Pellegrini meletakkan Fernando dan Fernandinho di barisan tengah juga berjaya mengekang Juan Mata dan Ander Herrera dari beroperasi cemerlang.

Kepulangan Vincent Kompany di barisan pertahanan memberi impak besar kepada Man City dengan kombinasi beliau bersama Nicolas Otamendi berjaya mengekang Wayne Rooney, dan prestasi Aleksander Kolarov juga sering kali menyekat Anthony Martial di sebelah kiri.

Jadi keputusan seri 0-0 mungkin tidak begitu mengejutkan, namun pasti mengecewakan kedua-dua peminat pasukan ini. Man City masih lagi mengetuai liga, manakala Man Utd, berada dalam kelompok empat teratas, hanya 2 mata di belakang Man City dan Arsenal.