Kegagalan menyekat gerakan pantas pemain-pemain Pohang Steelers FC ketika menyerang itu telah menyebabkan pertahanan Johor Darul Ta’zim agak longgar, ia memudahkan pemain penyerang dan midfield Pohang menyusup masuk di dalam kawasan penalti.

Gerakan satu dua di luar kawasan penalti banyak memerangkap pertahanan JDT dan Itulah punca sebenarnya JDT tewas pada dua-dua perlawanan menentang Pohang. Lihat sahaja dalam masa 4 minit Pohang berjaya melakukan 2 jaringan pantas semalam.

Berdasarkan statistik perlawanan semalam juga menunjukkan pemain-pemain JDT agak sukar untuk menyekat kelincahan individu pemain-pemain Pohang terutamanya untuk memenangi bola di bahagian tengah. Dengan 4 percubaan tepat yang berjaya dilakukan Pohang itu telah menunjukan mereka begitu agresif dalam corak menyerang. Kelebihan yang ada pada pemain-pemain Pohang itu bukan sahaja pada teknikal individu sebaliknya kekuatan fizikal dan mental mereka banyak membantu.

Ini boleh dilihat bagaimana gerakan pantas dengan pertukaran-pertukaran posisi serta mengekalkan taktikal disiplin itu membolehkan pemain-pemain Pohang membuat keputusan dengan pantas dan tepat selain bermain dalam tempo yang pantas (high intencity) dengan konsisten. Itu yang menyebabkan pemain-pemain midfield JDT sukar untuk menyaingi kelincahan dalam menyusun gerakan melalui bahagian tengah apatah lagi untuk mendominasi permainan.

Ia merupakan satu lagi pelajaran yang boleh di ambil iktibar oleh semua pemain-pemain JDT terutama pemain-pemain muda dalam mempersiapkan diri mereka untuk mengharungi perlawanan yang lebih kompetitif dan tinggi levelnya seperti Liga Juara-Juara Asia ini. Kekuatan fizikal dan mental selain keupayaan teknikal individu itu sebenarnya banyak memberi kelebihan pada sesebuah pasukan itu untuk berjaya dalam mencari kemenangan.