Dua kejohanan tanpa penjaga gol, S.Kumar, ekoran kecederaan hamstring meletakkan skuad hoki negara bukan dalam situasi terbaik pada awal 2019.

Malaysia raih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah sebelum menjadi naib juara Hoki Siri Final dengan persoalan mengenai kemampuan penjaga gol simpanan, Hairi Abd Rahman, Mohd Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris.

Namun, selepas berehat tiga bulan, Kumar sudah mula mengintai tempatnya dalam skuad kebangsaan.

Dia kembali tepat pada masanya, ketika Hairi yang bertindak selaku penjaga gol utama sepanjang ketiadaan Kumar - ditimpa kecederaan meniscus (lutut).

"Saya yakin sempat pulih untuk menyertai program Jelajah Eropah (bermula 22 Julai). Saya masih berasa sakit dan perlu berhati-hati ketika berlatih".

"Posisi penjaga gol agak tertekan selepas Hairi cedera. Jadi saya perlu segera pulih untuk bersama pasukan," kata Kumar.

Beberapa pemain lain turut cedera seperti Luqman Nur Hakim Ahmad Syukran (pertahanan), Mohd Haziq Shamsul (tengah) dan Firhan Ashaari (penyerang).

Ia meningkatkan cabaran untuk menghadapi play-off kelayakan Sukan Olimpik, November depan. Malaysia tidak pernah layak ke temasya itu sejak tahun 2000.

Jadi, penting untuk Kumar kembali bersama pasukan. Pada usia 40 tahun, dia nadi The Malaysian Hockey Tigers.