Kalau ada yang titip apa itu erti sukan Malaysia, tanpa perlu berfikir panjang saya sifatkan entiti ini sebagai luar biasa.

Untuk menghimpunkan segala emosi yang membentuk sentimen luar biasa ini saya hanya perlu pandang kepada atlit negara yang berupaya memartabatkan Malaysia sebagai juara dunia.

Saya dilahirkan pada Ogos 1989, sama ada kebetulan atau tidak Kuala Lumpur waktu itu tuan rumah Sukan SEA Edisi yang ke-15 bersandarkan semangat "Kini Saatnya"

Mungkin saat saya dilahirkan sukan sudah sebati dalam jiwa yang terpaksa menanti hampir sedekad untuk mula mengalami keterujaan sebenar sukan temasya.

SUKOM 98 bermulanya legasi yang dinikmati Malaysia sehingga hari ini, Kompleks Sukan Bukit Jalil yang di transformasi menjadi Bandaraya Sukan Kuala Lumpur (KL Sports City).

Dua memori yang lekat di hati dan ingatan saya daripada SUKOM 98, pertama imej jaguh Tinju negara Sapok Biki yang menjulang potret Perdana Menteri ke-4 negara Tun Dr Mahathir Mohamad susulan memenangi Emas Light Flyweight.

Kedua, terlalu istimewa, saya bersama Allahyarhamah Nenda saya Siti Zabedah Ahmat sama-sama mengumpul Pin kesemua 15 sukan yang dipertandingkan di SUKOM 98. Al-Fatihah.

Waktu berlalu pantas dan dalam tidak sedar, demam Sukan Sea 2001 melanda zaman awal remaja dan paling lekat dalam ingatan sudah pasti maskot "Si Tumas"

2001 saya sudah mula menghargai pengorbanan dan aksi menakjubkan atlit negara menerusi apa yang saya saksikan di kaca televisyen dan juga nukilan yang terpampang di dada akhbar.

Secara tidak lagsung sudah tertanam impian untuk satu hari saya berbakti kepada Sukan Malaysia, kalau tidak sebagai atlit, sebagai pewarta yang berkongsi cerita suka dan duka mereka.

Kini Kuala Lumpur 2017 berkunjung tiba, ini liputan Sukan Sea saya yang keempat sejak Jakarta 2011 tetapi percayalah kempen di laman sendiri paling Istimewa.

Saya tertanya dan menanti apa memori yang akan saya himpun dan kenang saat berakhirnya edisi ke-29 ini apatah lagi sewaktu kita menyambut kemerdekaan yang ke-60.

Mungkin sesuatu yang akan saya ceritakan kepada pewaris nama saya satu hari nanti seperti mana yang sudah saya kongskikan kepada anda.

Ikhlas
Shahrazad Sani.