Dengan kontroversi hubungan Mourinho dan Chelsea , penulis mahu membawa anda semua menyingkap keistimewaan siapa “the special one” ini.

1. PAKAR KEJUTAN

Mula menguruskan sebuah pasukan secara rasmi pada 2002, Porto menjadi pasukan pertama yang mendapat sentuhan Mourinho. Tiada tempoh bertenang diperlukan, Mourinho segera bersaing dan membawa pasukan menjulang kejuaraan pada musim yang sama, mengulanginya buat tahun kedua berturut-turut di saingan liga tempatan Portugal serta mengejutkan ramai pihak dengan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2003/2004.

2. AHLI NUJUM

Mourinho dikatakan sentiasa tahu apa yang terbaik buat pasukannya. Dia suka menyendiri dan itu bermakna dia sedang bekerja dan merancang sesuatu. Taktikal pasukan menjadi keutamaannya dan perbezaan Mourinho berbanding lain-lain jurulatih, dia mereka jenteranya berdasarkan karakter pihak lawan, sementara langkah lain kekal rahsia.

3. PELAJAR SEUMUR HIDUP

Tiada istilah graduasi dalam kamus hidup Mourinho jika ia melibatkan pengetahuan tentang bola sepak. Cintanya terhadap sukan kegemaran dunia ini menyaksikan Mourinho mendalami bidang sains sukan, sebelum mempersiapkan diri mengambil lesen kejurulatihan di England dan Scotland. Ilmu secara tidak rasmi sudah diperolehi sejak kecil lagi kerana ayahnya juga seorang jurulatih. Mourinho juga rajin mengintai gaya pengurusan jurulatih hebat seperti Sir Bobby Robson.

4. PEMAIN PSIKOLOGI

Bagi Mourinho, bola sepak bukan sekadar sukan fizikal, malah ia perlu diseimbangkan dengan banyak lagi elemen sebagai seorang manusia. Kekuatan mental menjadi keutamaan kepada Mourinho dan ia dititikberatkan kepada anak buahnya sebelum dan selepas perlawanan. Mourinho sendiri cukup kental dengan kritikan, malah dia bijak bermain kata-kata. Perang psikologi yang dicipta Mourinho sentiasa dinantikan media dan peminat bola sepak. Perlu diingat, ia seringkali jadi senjata yang mematikan selera lawan untuk berjuang.

5. PENCURI

Kekuatan utama Mourinho dikenalpasti sebagai bijak mencuri peluang terhidang. Ia berkaitrapat dengan kebolehannya meramal langkah seterusnya yang mampu membawa kejayaan. Malah ia menjadi penanda aras kepada ramai jurulatih untuk merancang hala tuju pasukan masing-masing. Paling menarik, apa jua situasi yang melanda pasukannya ketika itu, Mourinho akan pastikan mereka menang pertarungan dengan pasukan gergasi. Ia terbukti dengan rekodnya bersama Porto, Chelsea, Inter Millan dan Real Madrid dimana Mourinho meraih 44% kemenangan ke atas Manchester United berbanding pengendali legenda pasukan liga perdana inggeris itu, Sir Alex Ferguson 19%.

Jadi bagaimana pandangan anda tentang perjalanan musim ketiga Mourinho bersama Chelsea pada lencongan keduanya di Stamford Bridge?

Apakah masih ada kepercayaan atau kesuraman 3 bulan ini cukup untuk memadamkan apa yang penulis kongsikan diatas? Selamat Berjaya buat insan istimewa & pasukan biru.