Peristiwa ini akan diingati sebagai “48 jam yang gila” yang mencetus penciptaan dan pemusnahan Liga Super Eropah (ESL) yang sarat dengan kontroversi apabila enam kelab terbesar England awalnya mengumumkan untuk menyertai saingan yang berangan-angan besar itu.

Sepantas ia mengejutkan ramai dengan rancangan pelaksanaannya, namun sepantas itu jugalah ia berkubur cuma 48 jam kemudian.

Dua kelab Manchester – City dan United – disertai Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Tottenham kesemuanya terlibat sama tetapi kesemuanya terpaksa melakukan “pusingan U” yang dramatik disebabkan desakan pelbagai pihak, terutamanya peminat.

Bagaimana semuanya bermula dan berakhir?



Bola sepak seakan-akan terhumban ke kancah kacau-bilau Ahad lalu apabila sekumpulan kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) mengumumkan satu usul untuk mewujudkan satu saingan berbeza dikenali sebagai Liga Super Eropah (ESL).

Manchester United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur telah bersetuju kepada usaha mewujudkan satu pertandingan tertutup bersama Juventus, Inter Milan, AC Milan, Real Madrid, Barcelona dan Real Madrid.

Langkah itu secara drastiknya akan mengubah format saingan domestik dan Eropah seperti yang tidak pernah dilihat sebelumnya tapi ia mengundang reaksi kemarahan ramai.

Kemuncak kepada kemarahan peminat, pemain dan pengurus terhadap “idea gila” itu, keenam-enam kelab EPL berkenaan terpaksa membuat pusingan U yang memalukan – tapi dialu-alukan.



Akhbar Daily Mail merumuskan garis masa “48 jam yang gila” seperti berikut:

AHAD TENGAH HARI
Desas-desus tersebar mengenai 12 kelab – termasuk Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham selaku wakil-wakil EPL -- merancang untuk mewujudkan dan menyertai Liga Super Eropah, yang akan mengubah terus landskap bola sepak Eropah.

AHAD PETANG
Reaksi terhadapnya adalah serta-merta. Gary Neville menghamburkannya melalui Sky sambil menyifatkannya sebagai “memalukan” dan satu “perlakuan jenayah” terhadap peminat. Tambah menghangatkan keadaan, Perdana Menteri, Boris Johnson, berkata ia merosakkan bola sepak sambil menyokong sebarang usaha menentangnya.

AHAD MALAM
Kesemua 12 kelab terlibat mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyertaan dalam ESL itu.

ISNIN PAGI
Bola sepak terhumban ke dalam krisis dan ketika kritikan memuncak, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, menggelarkan perancang liga terbaru itu sebagai “pembelit dan penipu”.

ISNIN TENGAH HARI
Kerajaan British mengumumkan ia akan melakukan apa saja untuk menggagalkan ESL daripada diteruskan.

ISNIN MALAM
Leeds berdepan Liverpool di tengah-tengah kontroversi ini. Ketika memanaskan badan, pemain-pemain Leeds mengenakan baju yang tertulis: “Bola sepak adalah untuk peminat.” Jurgen Klopp menyuarakan penentangannya terhadap ESL, disertai James Milner.

SELASA TENGAH HARI
Pep Guardiola mengungkapkan: “Ia bukanlah sukan jika kejayaan adalah terjamin dan tiada siapa kisah apabila anda kalah.”

SELASA PETANG
Peminat Chelsea memprotes di luar Stamford Bridge dan menghalang bas pasukan daripada memasuki stadium sehingga pengarah teknikal, Petr Cech, terpaksa turun dan merayu kerjasama mereka.

SELASA MALAM
Satu hebahan mendedahkan Chelsea dan Manchester City menarik diri daripada ESL, serentak dengan runtuhnya domino satu demi satu. Ia disusuli Atletico mengambil langkah serupa.

Selang beberapa minit, tular mengenai Ed Woodward meletak jawatan naib pengerusi eksekutif United.

Selepas jangka hayat hanya 48 jam, impian Liga Super Eropah berkubur dibawa angin malam.