​Kelayakan Piala Dunia membawa anda ke mana saja. Dan perkara terbaik mengenainya ialah anda tidak pun boleh berasa pasti di mana sebenarnya. Ia membawa anda ke tebing Mediterranean, tempat-tempat tumpuan di Asia Timur, ke banjaran Himalaya, Rockies dan Andes.

Malah, ke garisan khatulistiwa dan pinggir Arctic, ke tengah-tengah padang pasir dan lautan, mungkin juga lebih daripada itu. Ia mendedahkan anda kepada padang yang buruk permukaannya, papan keputusan usang, padang diterangi suar di samping padang yang digenangi air.

Tidak ketinggalan, ia membawa anda kepada cuti umum kebangsaan dan krisis negara. Pada kesudahannya, hanya satu perkara adalah pasti:pelbagai peristiwa dalam tempoh dua setengah tahun yang telah dipertonton kepada ramai, tidak mengecewakan.

Kemuncaknya adalah berkaitan 32 pasukan yang akan memperagakan aksi untuk tontonan jutaan pada musim panas akan datang tapi sebelum itu, mari kita sorot semula perjalanan panjang ini – kekecewaan, kegembiraan, kontroversi, keanehan dan segala cerita di sebalik tabirnya – yang menjadikan kempen kelayakan kali ini amat mempesonakan seperti yang dikongsi oleh Yahoo Sports dalam rencana empat bahagian:

DARI GARIS TEPI PADANG: CERITA DI SEBALIK KELAYAKAN

1. Genap 979 hari sebelum pusingan kelayakan 2018 usai di Lima, Peru, dan kira-kira 10,340 batu menyeberangi Pasifik Selatan, sepak mula dilakukan pada jam 3 pagi pada 12 Mac 2015 di Stadium Perbandaran Dili, Timor-Leste. Ia menyaksikan kemenangan 4-1 pasukan tuan rumah, yang disandarkan kepada pemain-pemain import Brazil, barangkali dengan surat beranak palsu Timor-Leste. Lewat pada hari itu, pasukan dengan ranking dunia terendah, Bhutan, memenangi penampilan sulungnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia, yang diraikan di sebuah restoran KFC Sri Lanka.

2. Kesemua 211 anggota gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyertai Piala Dunia 2018. Zimbabwe tidak pun mampu bertahan walaupun sehari. Mongolia menjadi pasukan pertama disingkirkan daripada padang bola sepak pada minggu berikutnya. Tapi beberapa jam selepas pembukaan tirai di Timor-Leste, FIFA menyigkirkan Zimbabwe gara-gara kegagalannya menjelaskan hutang kepada seorang bekas jurulatih. Dua bulan selepas itu, Indonesia turut digantung kerana campurtangan kerajaan dalam pentadbiran bola sepaknya. Ia meninggalkan 206 pasukan ketika itu untuk bersaing merebut 31 tempat dalam pusingan akhir di Russia. Ini disusuli kemasukan Kosovo dan Gibraltar untuk meningkatkan semula jumlah pasukan kepada 208.

3. Menjelang penghujung Mac 2015, pusingan kelayakan di Asia dan CONCACAF telah mengurangkan jumlah pasukan yang tinggal bersaing kepada 194. Menjelang akhir tahun berkenaan, ia dikurangkan lagi kepada 150. Sejumlah 23 daripada 35 negara CONCACAF telah pun menamatkan saingan masing-masing, begitu juga 34 daripada 54 negara Afrika.

4. Apakah pula cerita paling menyedapkan hati daripada pusingan kelayakan? Daripada sekian banyak cerita yang ada, ia haruslah Iceland – negara terkecil yang pernah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia. Ia juga berkisar kepada musim sejuk yang diselubungi kegelapan, tepukan Viking dan sambutan keraian lewat malam di Reykjavik. Iceland, sebuah negara gunung berapi dengan berpenduduk 340,000 orang, akan ke Piala Dunia manakala negara dengan 1 bilion penduduk akan sekadar menjadi penonton. Iceland… ceritanya agak sukar dipercayai.

5. Iceland, yang hanya membuat penampilan sulung dalam sebuah kejohanan utama hanya dua musim panas lalu, tampil daripada sebuah kumpulan yang keseluruhannya berbangga dengan 15 penampilan dalam kejohanan utama pada abad ini. Ia menuntut salah satu laluan paling mencabar untuk mereka sampai ke Russia. Sweden, bagaimanapun, mengharungi laluan lebih menyukarkan. Dihimpunkan dalam kumpulan yang sama dengan Belanda dan Perancis, mereka tetap bernyawa. Dipadankan dalam saingan play-off dengan juara dunia empat kali, Itali, mereka tetap mara dengan bergaya.

(BERSAMBUNG)