Tahniah Zaidatul Husniah Zulkifli kini digelar pelari pecut wanita terpantas Malaysia.

Malaysia menunggu 24 tahun untuk saat bermakna ini apabila catatan 11.50 saat legenda sukan olahraga negara, G.Shanti dileburkan.

Zaidatul atlet pecut yang berasal dari Kedah cemerlang mencatat rekod kebangsaan baharu 100 meter wanita dengan catatan 11.45 saat di Kejohanan ASA Speed Series 2 di Afrika Selatan awal pagi Khamis.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa catatan masa bersaat lebih pantas pun sukar dicapai.

Lari dan cubalah, baru anda tahu.

Dalam dunia larian olahraga, untuk melakar beberapa saat lebih pantas merupakan cabaran terbesar setiap pelari.

Pemerhati dan pakar acara larian pecut mempunyai pandangan masing-masing tentang faktor yang mempengaruhi prestasi seseorang atlet itu.

Berita positif dalam sukan olahraga negara namun kenapa Malaysia perlu menunggu 24 tahun untuk akhirnya Zaidatul muncul melakar sejarah?

Mungkin dari segi program latihan, fizikal atlet, cara hidup, budaya, corak pentadbiran persatuan dan banyak lagi.

Antara faktor yang boleh dijadikan panduan:
1. Ketinggian atlet pecut
Secara purata juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dalam acara 100 meter wanita mempunyai ketinggian antara 170cm hingga 180cm.
Pemegang rekod dunia 100 meter wanita dengan catatan 10.49 saat, Florence Griffith Joyner dari Amerika Syarikat mempunyai ketinggian 170cm. Ini banyak membantu dalam melakukan langkah lebih panjang untuk mencatat masa lebih pantas.

2. Kekuatan otot badan
Cuba perhatikan fizikal pelari pecut ternama dunia wanita mahupun lelaki. Kesemua mereka mempunyai corak fizikal badan dan tangan yang besar dan
berotot. Kekuatan ini penting bagi memastikan atlet berlari dalam teknik larian yang efisien secara konsisten. Selain itu, ia dapat membantu dalam kepantasan eksplosif.

3. Pemakanan ideal
Seperti yang dilaporkan di www.theconversation.com, kesemua pelari pecut elit mengikut diet pemakanan yang spesifik untuk atlet pecut.
Jika di Malaysia secara lumrahnya karbohidrat seperti nasi, mee dan roti menjadi makanan kegemaran, diet seorang atlet lebih kepada pengambilan protein dalam pemakanan harian seperti daging, ikan, telur, kacang dan sebagainya.

4. Program pembangunan sukan olahraga
Bagi melahirkan atlet berkelas dunia dan pemecah rekod, program sukan olahraga dalam sesebuah negara perlu efektif dan efisien.
Banyak kejohanan berkualiti perlu dianjurkan dari peringkat daerah sehinggalah peringkat kebangsaan. Perkara ini perlu difokus oleh
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang selalunya popular kerana sering terjeremuk dalam isu-isu panas dan kontroversi.


Fikir-fikirkanlah. Takkan perlu tunggu 24 tahun lagi.