Bagi kebanyakan remaja, 21 tahun adalah usia yang dinanti-nantikan untuk menikmati kehidupan sebenar. Inilah permulaan untuk membuat keputusan sendiri dan merencana masa depan ketika kepercayaan dan kebebasan dititipkan ibu bapa sebagai hadiah paling bernilai.

Nampaknya "anak-anak" Arsene Wenger masih belum menerima hadiah hari lahir mereka. Maka tidak hairanlah ada yang memberontak, tidak kurang juga yang merajuk ingin membawa diri. Perkara yang boleh dijangkakan apabila wujudnya perasaan tidak puas hati.

Di luar perkarangan stadium, lebih 100 penyokong setia Arsenal menanti pasukan kesayangan mereka selepas disajikan kisah mendukacitakan sekali lagi dengan kali ini membabitkan kekalahan di tangan pasukan yang mengelak terjerumus ke zon relegasi, Crystal Palace.

Luahan tidak puas hati ke atas Wenger sememangnya satu lumrah, di samping dendangan mengejek seperti "time to go" dan "you're not fit to wear the shirt". Namun para pemain juga kini tidak terkecuali menjadi bahan semburan api kemarahan penyokong yang tidak boleh menerima The Gunners bakal terlepas slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama sejak 1996.

Mesut Ozil antara yang membarisi senarai tumpuan kumpulan anti Wenger ini di Selhurst Park. Begitu juga rakan senegaranya, Shkodran Mustafi yang diminta pulang sahaja ke Jerman.

Namun siapa tahu Ozil dan Shkodran adalah di pihak mana apabila berada di bilik persalinan yang ketika ini terbahagi kepada dua kumpulan.

Walaupun khabarnya keputusan muktamad berhubung penawaran kontrak dua tahun sudah pun dibuat Wenger, perkara seperti inilah yang mungkin membuatkan jurulatih dari Perancis ini belum membuat pengumuman rasmi tetapi jika benar dia mendakwa cinta dan hidupnya hanya untuk Arsenal, tidak salah jika memberi kunci kebebasan 21 tahun itu kepada penjaga baru "anak-anak"nya.