Selepas lima aksi pertama Liga Super musim ini, tidak salah jika penulis mengatakan jurulatih tempatan lebih menonjol setakat ini.

Ia berlandaskan kedudukan terkini liga dengan dua pasukan teratas, Kedah dan Pahang kendalian Tan Cheng Hoe serta Dollah Salleh.

Kemampuan Cheng Hoe tidak mengejutkan penulis kerana pengalaman serta kelayakkan tinggi pengendali itu yang memiliki Lesen Profesional AFC.

Dollah tampak membuktikan dia masih antara pengendali tempatan terbaik, walaupun kurang menyerlah bersama skuad kebangsaan dan Perlis sebelum ini.

Pengendali import setakat ini tampak masih bergelut dengan prestasi pasukan masing-masing.

Karl Heinz Weigang ketika ini tampak pengendali import yang paling berjaya dengan membawa Perak ke tangga ketiga liga.

Pendatang baru seperti Benjamin Mora (JDT) dan Eric Williams (Melaka) masih berusaha meningkatkan prestasi pasukan mereka tatkala, Ashley Westwood jelas paling mengecewakan bersama Pulau Pinang.

Pengendali Selangor, P. Maniam setakat ini mengotakan janji di awal musim apabila optimis pasukannya kekal barisan yang sukar ditewaskan walaupun kehilangan ramai pemain tonggak.

Begitu juga dengan pengendali pasukan lain di tangga pertengahan liga seperti E Elavarasan (PKNS FC) dan Zahasmi Ismail (Kelantan).

Namun, terdapat juga pengendali tempatan yang gagal menangani tekanan dan harapan tinggi pengurusan iaitu bekas pengendali Felda United, Azmi Mohamed .

Azmi bertindak melepaskan jawatannya selepas hanya tiga perlawanan dan Felda kini ibarat kapal tanpa nakhoda dengan terperosok di tangga kedua tercorot.

Bagaimanapun, kehadiran B.Satianathan yang dilantik sebagai jurulatih baru Felda United, dilihat dapat membawa Felda kembali ke zaman gemilang seperti musim lalu dibawah kendalian Irfan Bakti.

Apa pun perjalanan musim ini masih panjang dan penulis berharap, akan adanya jurulatih tempatan yang mampu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada akhir musim Liga M 2017.