1992 - Thomas Cup, Sudirman, XX Ray & Ikhlas : Bagaimana Sukan & Seni Menyatukan Malaysia
Julai 25, 2020 11:20 MYT
Ketepikan perbalahan dan ketidaksefahaman yang melata ketika ini dan tanya diri sendiri, bilakah kali terakhir Malaysia, sebagai sebuah negara, menyaksikan seluruh rakyatnya, tidak kira agama, bangsa dan umur bersatu?
Penampilan pemain badminton negara, S. Kisona dan Aaron Chia dalam program Siapa Terer bersama Dayang Zainatull Aqma tempohari memberikan satu perspektif di sebalik sukan badminton negara menjelang Piala Thomas dan Uber yang dijangka akan berlangsung Oktober tahun ini (sekiranya tiada lagi perubahan).
Sebut sahaja Piala Thomas, yang pasti, kejayaan skuad badminton negara pada tahun 1992 tetap akan menjadi bualan dan memori yang terpahat dalam sejarah sukan negara. Tatkala Piala Thomas dijulang di Stadium Negara pada malam 15 Mei 1992, seluruh negara bersatu, dalam meraikan detik kegembiraan tersebut.
Namun, pada tahun yang sama, sebelum Ricky Subagja gagal mengembalikan pukulan smash Soo Beng Kiang untuk mata kemenangan Malaysia dalam kejohanan itu, seluruh Malaysia sudah pun bersatu.
Bersatu dalam kemurungan.
Beberapa bulan sebelum itu, seluruh negara digegarkan dengan pemergian Penghibur No. 1 Asia, Sudirman Haji Arshad. Arwah Sudirman yang menjadi pujaan peminat seni tanah air merupakan permata yang tiada gantinya. Konsert Gergasi di Chow Kit, serta kejayaan meraih pengiktirafan Penghibur Terbaik Asia di pentas Asia Music Awards tahun 1989 bertempat di Royal Albert Hall, London menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Lagu-lagu beliau seperti Warisan (Di sini lahirnya sebuah cinta, bait lirik dari lagu ini pernah dijadikan tema Hari Kebangsaan tahun 2014), sentiasa membawa tema perpaduan yang sejajar dengan komposisi masyarakat di negara ini. Pemergian beliau pada 22 Februari 1992 sememangnya menyatukan rakyat Malaysia, dalam kesedihan, dengan segala kenangan yang mengiringi arwah melalui lagu-lagu yang sehingga kini menjadi siulan dan legasi seni negara.
Suatu gambaran betapa sukarnya Malaysia, berserta senjata utama iaitu perpaduan, untuk didominasi oleh pihak lawan.
1992 juga menyaksikan filem-filem Malaysia yang menampilkan unsur-unsur penyatuan dan majmuk. Lihat sahaja dua filem paling hangat pada tahun itu, Selubung dan XX Ray. Filem Selubung arahan Shuhaimi Baba menerapkan elemen perjuangan menentang kezaliman di Asia Barat, dan bagaimana seluruh rakyat Malaysia bergabung untuk membantu mereka yang memerlukan. XX Ray pula menerapkan tema yang lebih ringan dan menghiburkan, serta mudah diterima oleh seluruh lapisan masyarakat. Kutipan box-office diluar jangkaan, dari pelbagai penonton yang latar belakangnya berbeza, menjadi satu tanda aras dalam industri perfileman tanah air dalam memahami minda masyarakat negara yang berbilang kaum.
Tahun 1992 pasti terpahat sebagai saat manis dalam perpaduan dan perhubungan masyarakat seluruh negara. segala perbezaan diketepikan, dan disatukan tanpa diskriminasi. Matang adalah perkataan yang sesuai dalam menggambarkan Malaysia ketika itu. Sudah 28 tahun detik manis ini berlalu. Di tengah-tengah kekalutan yang kini semakin bermaharajalela, mungkin Malaysia memerlukan satu lagi pemangkin dalam mencorak perhubungan dan perpaduan masyarakat di negara ini. Setelah hampir 3 dekad, adakah sukan, khususnya badminton dan medan Thomas Cup akan sekali lagi menjadi pemangkin kepada detik-detik lain untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia? Seperti kata Andy Dufresne, watak protagonist dalam filem The Shawshank Redemption, harapan itu, adalah suatu perkara yang murni.
Buat masa ini, harapan sahaja yang mampu menyatukan kita.