Ketepikan perbalahan dan ketidaksefahaman yang melata ketika ini dan tanya diri sendiri, bilakah kali terakhir Malaysia, sebagai sebuah negara, menyaksikan seluruh rakyatnya, tidak kira agama, bangsa dan umur bersatu?

Penampilan pemain badminton negara, S. Kisona dan Aaron Chia dalam program Siapa Terer bersama Dayang Zainatull Aqma tempohari memberikan satu perspektif di sebalik sukan badminton negara menjelang Piala Thomas dan Uber yang dijangka akan berlangsung Oktober tahun ini (sekiranya tiada lagi perubahan).

Sebut sahaja Piala Thomas, yang pasti, kejayaan skuad badminton negara pada tahun 1992 tetap akan menjadi bualan dan memori yang terpahat dalam sejarah sukan negara. Tatkala Piala Thomas dijulang di Stadium Negara pada malam 15 Mei 1992, seluruh negara bersatu, dalam meraikan detik kegembiraan tersebut.

Namun, pada tahun yang sama, sebelum Ricky Subagja gagal mengembalikan pukulan smash Soo Beng Kiang untuk mata kemenangan Malaysia dalam kejohanan itu, seluruh Malaysia sudah pun bersatu.

Bersatu dalam kemurungan.

Beberapa bulan sebelum itu, seluruh negara digegarkan dengan pemergian Penghibur No. 1 Asia, Sudirman Haji Arshad. Arwah Sudirman yang menjadi pujaan peminat seni tanah air merupakan permata yang tiada gantinya. Konsert Gergasi di Chow Kit, serta kejayaan meraih pengiktirafan Penghibur Terbaik Asia di pentas Asia Music Awards tahun 1989 bertempat di Royal Albert Hall, London menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Lagu-lagu beliau seperti Warisan (Di sini lahirnya sebuah cinta, bait lirik dari lagu ini pernah dijadikan tema Hari Kebangsaan tahun 2014), sentiasa membawa tema perpaduan yang sejajar dengan komposisi masyarakat di negara ini. Pemergian beliau pada 22 Februari 1992 sememangnya menyatukan rakyat Malaysia, dalam kesedihan, dengan segala kenangan yang mengiringi arwah melalui lagu-lagu yang sehingga kini menjadi siulan dan legasi seni negara.



Tidak keterlaluan jika dikatakan, detik itu menjadi faktor dalam membangkitkan nasionalisme dalam jiwa rakyat Malaysia. Setelah melalui episod sedih menangisi pemergian seorang legenda, Malaysia tidak mahu bersedih lagi. Lihat sahaja jumlah penonton di Stadium Negara pada malam perlawanan akhir menentang Indonesia itu. Tidak kira umur atau bangsa, seluruh negara, termasuklah yang di hadapan kaca televisyen, semuanya bersorak setiap kali Foo Kok Keong membuat pukulan dan hantaran kepada Alan Budi Kusuma pada perlawanan akhir malam itu.

Suatu gambaran betapa sukarnya Malaysia, berserta senjata utama iaitu perpaduan, untuk didominasi oleh pihak lawan.

1992 juga menyaksikan filem-filem Malaysia yang menampilkan unsur-unsur penyatuan dan majmuk. Lihat sahaja dua filem paling hangat pada tahun itu, Selubung dan XX Ray. Filem Selubung arahan Shuhaimi Baba menerapkan elemen perjuangan menentang kezaliman di Asia Barat, dan bagaimana seluruh rakyat Malaysia bergabung untuk membantu mereka yang memerlukan. XX Ray pula menerapkan tema yang lebih ringan dan menghiburkan, serta mudah diterima oleh seluruh lapisan masyarakat. Kutipan box-office diluar jangkaan, dari pelbagai penonton yang latar belakangnya berbeza, menjadi satu tanda aras dalam industri perfileman tanah air dalam memahami minda masyarakat negara yang berbilang kaum.



Lagu Fikirkan Boleh pada mulanya hanyalah lagu Side B yang dipetik dari album Di Sebalik Rahsia Cinta oleh Kumpulan Metropolitan. Kumpulan ini lebih menaruh harapan kepada single balada mereka dengan tajuk yang sama, untuk menbawa mereka ke puncak carta. Tetapi Piala Thomas 1992 mengubah segalanya dimana lagu Fikirkan Boleh dimainkan sepanjang kempen skuad badminton negara dalam kejohanan tahun itu, dan seterusnya menjadi siulan dan menggamit populariti yang sangat hebat, sehingga lagu tersebut diangkat menjadi slogan baru Malaysia oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan terus digunakan untuk pencapaian-pencapaian Malaysia dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi mahupun pencapaian individu rakyat Malaysia.



Membawa semangat Fikirkan Boleh, sekitar Julai-Ogos 1992, sukan badminton sekali lagi menyatukan seluruh negara dalam meraikan kejayaan Razif dan Jalani Sidek yang mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik Barcelona, meraih pingat pertama Malaysia sepanjang sejarah penyertaan Malaysia dalam temasya sukan terbesar ini. Kejayaan tersebut membuktikan sekali lagi yang Malaysia, dengan sokongan seluruh rakyatnya, bisa menggegar dunia.



Tirai 1992 berlabuh dengan satu lagi detik perpaduan yang mengagumkan, di mana 45,000 penonton membanjiri Stadium negara pada 25 Disember 1992, untuk menyaksikan Konsert Ikhlas yang dibawakan oleh Roslan Aziz Productions. Dibarisi artis Zainal Abidin, Sheila Majid, Allahyarham Zubir Ali, Amir Yussof, Azman Warren & Karma, Afdlin Shauki, Prema, SM Salim serta iringan pemuzik profesional dari dalam dan luar negara, persembahan mega ini menarik perhatian semua lapisan kaum, tidak kira bangsa, umur mahupun agama, dan sehingga kini, dianggap detik paling agung dalam sejarah muzik Malaysia.

Tahun 1992 pasti terpahat sebagai saat manis dalam perpaduan dan perhubungan masyarakat seluruh negara. segala perbezaan diketepikan, dan disatukan tanpa diskriminasi. Matang adalah perkataan yang sesuai dalam menggambarkan Malaysia ketika itu. Sudah 28 tahun detik manis ini berlalu. Di tengah-tengah kekalutan yang kini semakin bermaharajalela, mungkin Malaysia memerlukan satu lagi pemangkin dalam mencorak perhubungan dan perpaduan masyarakat di negara ini. Setelah hampir 3 dekad, adakah sukan, khususnya badminton dan medan Thomas Cup akan sekali lagi menjadi pemangkin kepada detik-detik lain untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia? Seperti kata Andy Dufresne, watak protagonist dalam filem The Shawshank Redemption, harapan itu, adalah suatu perkara yang murni.

Buat masa ini, harapan sahaja yang mampu menyatukan kita.