Perjalanan yang cukup jauh dari ibu kota Argentina ke bandar terpenting Jepun itu yang akan menjadi tuan rumah Olimpik 2020.

Akan sampai ke destinasi dalam 0.061 saat dengan menggunakan kapal angkasa. 19 jam jika menggunakan kapal terbang Airbus A380. Lebih lama perjalanannya dengan belon udara panas, 367 jam.

Terserah kepada Goh Jin Wei untuk membuat pilihan.

'Wei Wei' muncul atlet pertama Malaysia menyumbang pingat emas pertama negara secara rasmi di Sukan Olimpik Remaja (YOG) apabila menewaskan lawan dari China dalam final badminton perseorangan wanita di Buenos Aires.

Turut menyumbang emas di edisi ke 3 YOG adalah pasukan hoki lelaki 5 sebelah setelah menewaskan India 4-2 untuk pencapaian terbaik Malaysia di temasya ini.

Untuk perkongsian, Cheam June Wei pernah gondol emas di YOG Nanjing 2014 namun ia tidak diiktiraf emas rasmi buat Malaysia kerana June Wei berpasangan dengan pemain dari negara lain Ng Tsz Yau dari Hong Kong dalam badminton bergu campuran.

Melihat Jin Wei terbaring lega di gelanggang meraikan mata ke 21 di set ke 3 sungguh menyentuh hati peminat badminton tanahair kerana dia juga cipta sejarah muncul juara remaja dunia yang pertama gondol emas YOG.

Impian menjadi kenyataan dan secara tidak langsung misi seterusnya menang pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik Tokyo 2020.

Dalam meraikan kejayaan pemain muda negara baru-baru ini termasuk pemain 20 tahun Lee Zii Jia yang menjuarai Terbuka Taiwan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuktikan usaha mereka melabur kepada pemain muda badminton Malaysia berhasil.

Walaubagaimanapun, realitinya destinasi dari Buenos Aires ke Tokyo cukup jauh.

Jelas perjalanan Jin Wei akan dicabar oleh pemain yang juga pernah menjuarai remaja dunia seperti bekas pemain nombor 1 dunia dan juara dunia 2013, Ratchanok Intanon. Tidak kurang hebatnya dari Jepun, Akane Yamaguchi dan pemain China He Bingjiao.

Lebih kurang 2 tahun lagi dan masa tidak akan menunggu lama.

Jadi Jin Wei 18 tahun perlu membuat keputusan bijak apa dan bagaimana membolehkannya meneruskan kilauan emas di Argentina diteruskan ke pentas lebih tinggi di Tokyo nanti.

Jauh tapi tidak mustahil.