Saya menghubungi pemegang rekod 100 meter Sukan SEA, Suryo Agung Wibowo, selepas membaca laporan media Indonesia mengenai keputusan pelari sensasi negara itu, Lalu Muhammad Zohri, tidak menyertai temasya di Filipina, November depan.

Beliau enggan mengulas tetapi saya yakin ada sedikit rasa lega.

Saya fikir tanpa Lalu, rekod Suryo 10.17 saat ketika meraih pingat emas Sukan SEA Vientiane, Laos 2009 akan terus kekal.

Bagi kem negara pula, ini peluang keemasan.

Jonathan Nyepa kini menghuni ranking kedua Asia Tenggara berbekalkan catatan terbaik musim ini, 10.37 saat - ketinggalan 0.02 saat dibelakang pelari senior Thailand, Jirapong Meenapra.

Apa yang menarik, persaingan Jonathan-Jirapong cukup sengit.

Final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang dijuarai Khairul Hafiz Jantan, menyaksikan Jirapong meraih tangga keempat dengan 10.64 saat - lebih 0.02 saat berbanding Jonathan.

Malangnya, Khairul tidak terpilih dalam acara 100 meter di Filipina, sekali gus tugas itu diserahkan kepada Jonathan dan Muhammad Zulfiqar Ismail.

Di antara mereka, peluang Jonathan lebih baik berdasarkan catatan masa dan pengalaman.

"Siapa saja boleh menang dalam 100 meter. Saya menghormati semua pelari Asia Tenggara cuma berharap keadaan berjalan lancar untuk saya dan Zulfiqar.

"Ini peluang yang baik untuk mempertahankan emas 2017," kata Jonathan.