Bekas kapten Terengganu, Zulharisham Awang, mengharapkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim dapat mengulangi legasi skuad emas 2001 untuk kejuaraan kedua skuad Peteh dalam saingan berprestij Piala Malaysia.

Zulharisham muncul kapten Terengganu pertama yang diberi penghormatan menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 apabila dia bersama rakan sepasukannya menumbangkan Perak 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Detik bersejarah itu kini hampir diulangi apabila anak buah Irfan menjejakkan kaki ke pentas final dan sekali lagi bertemu Perak di Stadium Shah Alam, esok.

"Setelah hampir 82 tahun kejohanan Piala Malaysia dipertandingkan, 2001 menjadi detik paling manis buat Terengganu apabila bergelar juara.

"Jadi, jika dilihat kepada kesebelasan utama serta pemain Terengganu, saya sangat yakin tahun ini mereka akan mencipta sejarah kedua selepas 2001," kata Zulharisham.

Selain Zulharisham, antara watak lain yang membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia 17 tahun lalu adalah Hairuddin Omar, Sapian Wahid, Rosdi Talib, Subri Sulong serta pemain yang kini menjadi pembantu kepada Irfan, Nafuzi Zain.

"Saya rasa sangat bertuah kerana tidak semua orang menikmati suasana begini sebagai pemain dan jurulatih. Kami juga memecahkan rekod buat Terengganu pada 2001," ujar Nafuzi.