BRAZIL 1 SWITZERLAND 1

Brazil terus menjadi pasukan kegemaran yang beraksi di bawah tahap sebenar apabila diikat 1-1 oleh Switzerland dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Dunia di Rostov, awal pagi tadi.


Setelah gagal dalam kejohanan di laman sendiri dengan kekalahan 7-1 kepada Jerman empat tahun lalu, Brazil memulakan misi mereka dengan baik apabila Philippe Coutinho meledak gol untuk jaringan pembukaan pada minit ke-20.

Bagaimanapun, mereka tidak benar-benar dominan apabila Switzerland sering mengambil kesempatan daripada penguasaan mereka untuk melakukan serangan.

Juara lima kali itu gagal mengekalkan kelebihan mereka dan dihukum awal pada babak kedua apabila Steven Zuber yang terlepas daripada kawalan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50.

Skuad bimbingan Tite itu masih beraksi di bawah tahap sebenar mereka, dengan Neymar yang baru pulih daripada patah kaki dan baki perlawanan kumpulan menentang Costa Rica dan Serbia dilihat seperti lebih mencabar.

Switzerland membuat permulaan cemerlang dalam kempen mereka selepas meraih satu mata menerusi perlawanan kumpulan paling sukar, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mencapai peringkat kalah mati buat kali kedua berturut-turut.

Skuad Vladimir Petkovic itu memulakan asakan ketika Xherdan Shaqiri membuat hantaran kepada Blerim Dzemaili dan penyerang Bologna itu melepaskan rembatan yang terkena palang.

Tidak lama kemudian, Paulinho hampir-hampir memberikan gol buat Brazil apabila sepakan lintangnya ke arah gawang meliar jauh ketika 10 minit perlawanan berlangsung.

Hanya 10 minit kemudian, Switzerland dihukum dengan kemahiran hebat Brazil.

Hantaran lintang Marcelo dari sebelah kiri melantun keluar dari kotak penalti dan jatuh ke kaki Coutinho. Pemain Barcelona itu mengawalnya dengan baik sebelum melepaskan rembatan lencong untuk mengecewakan Yann Sommer.

Switzerland menyamakan kedudukan hanya selepas lima minit bermula babak kedua apabila sepakan penjuru daripada Shaqiri menemui Zuber yang tidak di kawal di tepi kotak. Dia hanya melakukan tugasan mudah untuk menghantar bola masuk ke dalam jaring.