Michael Zorc berpandangan Mats Hummels membuktikan keberanian selepas bersetuju untuk kembali ke Borussia Dortmund daripada Bayern Munich.

Pemenang Piala Dunia itu dalam perjalanan kembali ke Signal Iduna Park apabila bakal meninggalkan juara Bundesliga, Bayern Munich, dengan yuran perpindahan bernilai EURO38 juta (RM178 juta).

Pengarah Sukan Dortmund, Zorc, gembira dan menyambut baik kepulangan Hummels dan mengagumi keputusannya untuk meninggalkan kuasa besar Bundesliga itu.

"Kami sangat gembira kerana mendapatkan Hummels kembali ke Dortmund," kata Zorc.

"Hummels bukan hanya seorang pemain berpengalaman dalam Bundesliga tetapi seorang ketua yang penting di luar dan di atas padang.

"Ia juga merupakan satu keputusan yang berani daripada Hummels untuk kembali ke Dortmund."

Sementara itu, Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic, mengucapkan terima kasih di atas khidmat Hummels di Bavaria.

"Bagi pihak FC Bayern, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Hummels," katanya.

"Kami telah menjuarai Bundesliga tiga kali dan Piala DFB musim lalu bersama Hummels. Dia memainkan peranan yang penting dalam kejayaan kami."