Kejayaan mengutip mata penuh di Stamford Bridge ketika menentang Tottenham Hotspurs telah melegakan pengendali Chelsea, Thomas Tuchel dan peminat-peminat The Blues.

Apa tidaknya, selepas mengharungi empat perlawanan sebelum ini, mereka hanya mampu mengutip tiga mata sahaja sudah tentu ia merugikan Chelsea sendiri kerana akan tercicir jauh dengan Manchester City.

Kemenangan ini sudah tentu juga akan mengembalikan keyakinan setiap pemain-pemain The Blues untuk terus memberi saingan pada Man City dan Liverpool dalam memburu kedudukan terbaik musim ini.

Selain itu juga penulis amat tertarik dengan prestasi pemain sayap kanan The Blues iaitu Hakim Ziyech yang menunjukkan satu permainan yang berkualiti.

Pernah disenaraikan 20 pemain terbaik Liga Juara-Juara Eropah pada 2019 dan berada pada tangga ke-29 sebagai pemain terbaik yang disenaraikan The Guardian daripada 100 pemain yang dipilih pada tahun yang sama ketika bersama Ajax Amsterdam.

Ini menunjukkan Ziyech seorang pemain yang berkualiti tinggi dimiliki dan itu ditunjukkan ketika melakukan jaringan pertama Chelsea melalui satu sepakkan lecong dari sudut yang sukar di luar kawasan penalti hingga Hugo Lloris terpegun melihatnya tanpa dapat melakukan apa-apa.



Itulah kelebihan Ziyech yang mempunyai kemahiran teknikal yang baik serta mengelecek selain mempunyai kepantasan dalam membuat keputusan.

Dengan melakukan lima jaringan dan lima umpanan daripada 36 penampilan bersama The Blues, dia telah membawa hasil yang lumayan selepas membantu The Blues muncul juara Piala Juara-juara Eropah (UCL) dalam musim pertama bersama kelab dari Barat Landon itu. Keupayaannya sudah tentu akan memberikan banyak pilihan kepada Tuchel untuk menyusun formasi pasukan.



Dengan keupayaan itu juga Ziyech telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Spurs semalam kerana dia telah berjaya membantu menewaskan anak didik Antonio Conte di Stamford Bridge dan The Blues terus mengekalkan rekod empat kemenangan berturut-turut ke atas Spurs dalam semusim.

Kejayaan itu pasti akan terus melonjakkan namanya sebagai pemain sayap kanan berkaki kiri yang mampu meledakkan rembatan padu yang digeruni lawan.