Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, tidak menagih simpati kerajaan dalam soal ganjaran selepas pingat emasnya dalam kategori F20, Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Nadi Arena melaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, akan membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet Jumaat ini.

Ziyad, bagaimanapun, tidak mahu sentimen simpati kerajaan dan rakyat Malaysia mempengaruhi keputusan untuk memberikan ganjaran kepadanya.

Realitinya, atlet kelahiran Selangor itu sedar bahawa dia gagal membawa pulang sebarang pingat dari Tokyo.

Ziyad mahu kerajaan membuat keputusan terbaik kerana ganjaran atlet negara bergantung kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan Malaysia (SHAKAM).

"Biarlah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang menentukannya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Jikalau ada imbuhan untuk saya, Alhamdulillah, saya menerimanya dengan 10 jari dan jika tiada imbuhan pun saya redha.

"Ia adat menang dan kalah. Sesiapa yang membawa pulang pingat emas, perak atau gangsa akan mendapat imbuhan.

"Macam saya, saya tiada sebarang pingat untuk dibanggakan (dalam edisi kali ini) jadi saya redha dengan hati yang terbuka," katanya.

Berdasarkan SHAKAM, mana-mana atlet negara yang meraih pingat emas Sukan Paralimpik akan menerima wang ganjaran RM1 juta manakala pemenang pengat perak pula menerima RM300,000 dan gangsa dengan RM100,000 selain pencen bulanan.

Ziyad sepatutnya memenangi pingat emas dengan lontaran rekod dunia sejauh 17.94m tetapi penyertaannya dibatalkan kerana didakwa lewat melaporkan diri di 'call room' (bilik pendaftaran).