NAPOLI 1 REAL MADRID 3 (Agregat 2-6)

Zinedine Zidane menolak cadangan bahawa skuad kendaliannya bernasib baik meraih kemenangan 3-1 ke atas Napoli untuk mara ke suku akhir serta menyifatkan 'tuah' tidak wujud dalam bola sepak.


Pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-24 hasil percubaan Dries Mertens. Juara bertahan itu bangkit pada babak kedua hasil tandukan Sergio Ramos.

Jaringan sendiri Mertens meletakkan Real di hadapan sebelum Alvaro Morata melengkapkan kemenangan Real pada penghujung perlawanan.

Pengendali Real, Zidane, menyifatkan kemenangan anak buahnya berdasarkan usaha yang telah mereka pamerkan, bukan berdasarkan tuah.

"Saya tidak berasakan kami bernasib baik, 'tuah' tidak wujud di dalam bola sepak," katanya.

"Keputusan 3-1 menjawab segala-galanya, ia membezakan kualiti yang dimiliki oleh pasukan walaupun kami terpaksa berhempas-pulas mencari gol penyamaan.

"Kami gagal bermain dengan baik pada awal permainan, Napoli menghukum kami dengan jaringan pembukaan Mertens.

"Kami perlu memberikan tumpuan serta mengambil positif daripada hasil permainan kami dalam separuh masa kedua."